SFC tawar pengalaman pemuliharaan hidupan liar secara langsung

Facebook
WhatsApp
PROGRAM PEMULIHARAAN… Orang ramai berpeluang menyertai pelbagai program pemuliharaan anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi mendekati hidupan liar serta memahami usaha melindungi khazanah alam semula jadi Sarawak. Foto SFC

KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) menawarkan beberapa program pemuliharaan secara langsung kepada orang ramai yang mahu mendekati hidupan liar, meneroka alam semula jadi dan memahami usaha pemuliharaan di Sarawak.

Program berkenaan memberi peluang kepada peserta untuk merasai sendiri pengalaman berkaitan pemuliharaan menerusi aktiviti yang dilaksanakan di beberapa lokasi terpilih.

Antara program yang ditawarkan ialah Turtle Guardians Programme di Taman Negara Talang Satang, Heart-to-Heart: Ranger for a Day di Pusat Hidupan Liar Matang, OU Escapade Programme di Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Little Heroes Conservation Programme di Pusat Hidupan Liar Matang.

SFC dalam kenyataan berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi pengalaman lebih dekat dengan alam semula jadi, malah membolehkan peserta memahami kepentingan pemuliharaan hidupan liar serta usaha yang dilaksanakan bagi melindungi khazanah alam semula jadi Sarawak.

“Dapatkan pengalaman lebih dekat dengan alam semula jadi, fahami kerja penting di sebalik pemuliharaan hidupan liar dan cipta pengalaman bermakna sepanjang menyertai program,” menurut kenyataan itu.

Tempahan bagi program berkenaan boleh dibuat menerusi ejen atau pemandu berdaftar.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Visitor Information Centre (VIC) Kuching di talian 082-248088.

Program tersebut merupakan antara usaha SFC bagi menggalakkan orang ramai mengenali dengan lebih dekat kerja pemuliharaan serta memainkan peranan dalam melindungi khazanah alam semula jadi Sarawak.

Oleh Afiq Sallehi