PANTU: Sempena Hari Orang Utan Sedunia 2026, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menerusi Program Hidupan Liar Global (GWP) menganjurkan sesi perkongsian mengenai orang utan bersama warga Sekolah Kebangsaan (SK) Engkranji dan SK Keranggas, Pantu, baru-baru ini.
Program yang diadakan bagi Taman Negara Gunung Lesong itu bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran murid mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan liar, khususnya Orang Utan Borneo (Pongo pygmaeus), selain menghargai kepelbagaian khazanah alam semula jadi di kawasan berkenaan.
Menurut SFC, para murid didedahkan kepada ekologi orang utan, hidupan liar serta kepentingan melindungi habitat hutan menerusi pelbagai aktiviti interaktif.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk ‘Jom Kenali Orang Utan!’, ‘Mini Ranger’, Cari Hidupan Liar, Misi Makanan Orang Utan, melukis dan mewarna serta kuiz.

Aktiviti berkenaan bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, malah turut menggalakkan kreativiti, kemahiran pemerhatian, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan dalam kalangan murid.
Turut hadir ialah Guru Besar SK Engkranji, Anrelson Nara dan Guru Besar SK Keranggas, Edmand Depa Randi yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan berkumpulan.
SFC turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan serta warga SK Engkranji dan SK Keranggas atas kerjasama dan sambutan yang diberikan sepanjang program tersebut.
Program seumpama itu dilihat penting dalam membentuk generasi muda yang lebih memahami nilai hidupan liar serta mempunyai kesedaran untuk bersama-sama memelihara khazanah alam semula jadi Sarawak.
Oleh Adi Safarman




