SFC perkukuh pengurusan buaya, libat urus 26 pemegang lesen

Facebook
WhatsApp
SESI libat urus Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bersama 26 pemegang lesen aktiviti pemburuan buaya dan aktiviti berkaitan dari Bahagian Kuching dan Samarahan bagi memperkukuh pengurusan buaya secara mampan di Sarawak. Foto SFC

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mengadakan mesyuarat dan sesi libat urus bersama 26 pemegang lesen aktiviti pemburuan buaya serta aktiviti berkaitan dari Bahagian Kuching dan Samarahan.

Sesi berkenaan menjadi platform bagi SFC berkongsi maklumat terkini, menjelaskan keperluan serta tanggungjawab pemegang lesen, selain mendapatkan pandangan, maklum balas dan cadangan secara langsung daripada pelesen.

Turut hadir Pengurus Besar SFC merangkap Pengawal Hidupan Liar Sarawak bersama timbalan-timbalan pengurus besar SFC.

SFC turut merakamkan penghargaan atas kerjasama pemegang lesen dalam membantu pelaksanaan operasi pengurusan buaya, khususnya di kawasan konflik, bagi mengurus populasi buaya, mengurangkan risiko konflik manusia-buaya serta meningkatkan keselamatan masyarakat.

PENGURUS Besar SFC merangkap Pengawal Hidupan Liar Sarawak bersama pemegang lesen aktiviti pemburuan buaya bergambar kenangan selepas sesi libat urus di Kuching. Foto SFC

Dalam sesi berkenaan, SFC menegaskan kepentingan pematuhan terhadap terma dan syarat lesen, selain undang-undang serta peraturan hidupan liar yang berkuat kuasa.

Pematuhan itu penting bagi memastikan aktiviti pemburuan dan aktiviti berkaitan dilaksanakan secara terkawal, teratur, selamat dan bertanggungjawab, selaras dengan usaha pengurusan serta pemuliharaan buaya secara mampan di Sarawak.

SFC turut mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada pemegang lesen bagi menambah baik pelaksanaan program pada masa hadapan, selain terus memperkukuh kerjasama dalam usaha mengurangkan konflik manusia-buaya dan meningkatkan keselamatan awam.

Oleh Shikin Mahmud