
MIRI: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) terus memperkukuh komitmen strategiknya dalam memacu pembangunan mampan negeri menerusi Sesi Amanat Bersama Pengurus Besar (GM) SFC 2026 di salah sebuah hotel di sini, semalam.
Menurut kenyataan SFC, amanat itu menegaskan keperluan peralihan daripada pendekatan penyampaian berasaskan aktiviti kepada pelaksanaan berteraskan hasil, sejajar dengan Pelan Pembangunan Sarawak 2030 (PCDS 2030) sebagai kompas utama pembangunan negeri.
Katanya, pendekatan ini bertujuan memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi impak nyata kepada kemakmuran ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial rakyat Sarawak.
Berteraskan empat strategik utama iaitu pemuliharaan, eko-pelancongan, transformasi luar bandar dan penjanaan hasil, amanat ini mengukuhkan peranan SFC sebagai agensi hijau yang bukan sahaja memelihara biodiversiti, malah menyampaikan nilai awam melalui tadbir urus berintegriti, pendekatan inklusif serta pelaksanaan berimpak tinggi, kata kenyataan itu sempena Sesi Amanat 2026, Pejabat SFC Wilayah Miri semalam.
Bagi 2026, fokus utama diberikan kepada kecemerlangan perlaksanaan yang merangkumi standardisasi, pematuhan, pengurusan risiko, pendigitalan sebagai pemecut prestasi, serta pembudayaan semangat pemilikan di semua peringkat organisasi.
Agenda ini turut disokong oleh kerangka 3P iaitu Pembangunan Rakyat, Keterangkuman Rakyat dan Integriti Rakyat serta disiplin 3R iaitu Menilai Semula, Berfikir Semula dan Menyegarkan Semula bagi memperkukuh keupayaan organisasi dan meningkatkan tahap kecemerlangan perkhidmatan.
Sehubungan itu, SFC menggesa seluruh warga kerja untuk bergerak sebagai Satu Pasukan SCS, dengan satu naratif, satu hala tuju dan satu standard kecemerlangan, sekali gus menjadikan amanat ini sebagai seruan strategik untuk bertindak demi merealisasikan visi Sarawak yang makmur, lestari dan inklusif.
Oleh Adum Liu