KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada sepanjang musim hujan ini, terutamanya dengan kemungkinan kehadiran buaya di kawasan berhampiran sungai dan parit.
Menurut SFC menerusi hantaran dalam media sosial, paras air yang meningkat akibat hujan berterusan boleh menyebabkan buaya muncul di kawasan berisiko, termasuk parit besar di kawasan perumahan.
“Paras air semakin naik akibat hujan berterusan, dan ini meningkatkan kemungkinan kehadiran buaya. Orang ramai perlu berjaga-jaga, terutamanya di kawasan berhampiran sungai atau parit,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Untuk mengelakkan insiden tidak diingini, SFC menyarankan beberapa langkah keselamatan.
“Pertama, elakkan kawasan berisiko, jangan melalui atau bermain di kawasan parit besar atau tepi sungai semasa hujan lebat atau banjir. Selain itu orang awam perlu peka terhadap maklumat terkini.
“Kami juga menasihati agar masyarakat sentiasa mengikuti maklumat terkini berkaitan kehadiran buaya atau bahaya lain.
“Kami juga ingin mengingatkan masyarakat untuk menjaga keselamatan haiwan peliharaan mereka. Jangan biarkan mereka berkeliaran kerana ini boleh mengundang bahaya dan akhir sekali, sediakan nombor kecemasan, simpan nombor telefon penting untuk tindakan segera sekiranya berlaku kecemasan,”katanya.
SFC turut menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat lanjut melalui saluran rasmi mereka, termasuk laman web [www.sarawakforestry.com](http://www.sarawakforestry.com) atau saluran WhatsApp.
“Jaga diri, jaga kesihatan, dan jaga keselamatan,” pesan SFC.
Orang ramai juga digesa untuk segera melaporkan sebarang kejadian berkaitan kehadiran buaya kepada SFC atau pihak berkuasa tempatan.