
LIMBANG: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) melancarkan operasi memburu buaya di pesisir Sungai Limbang susulan aduan penduduk mengenai kehadiran reptilia berkenaan yang kerap mendatangkan ancaman keselamatan.
Operasi tersebut dilaksanakan selepas kejayaan SFC menangkap seekor buaya gergasi sepanjang lebih lima meter dengan anggaran berat 300 kilogram tiga hari lalu.
Beberapa kelibat buaya bersaiz besar turut dilaporkan sering muncul di kawasan pesisir sungai, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk.
Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal berkata operasi dijalankan di kawasan Sungai Kampung Merasam hingga Kuala Awang.
“Setakat ini beberapa ekor buaya telah berjaya ditangkap dan ada yang telah dilupuskan. Namun, berdasarkan maklumat yang diterima, masih banyak lagi buaya di sepanjang pesisir sungai tersebut. Penduduk dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga ketika melakukan aktiviti di sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Perasmian Hari Apresiasi Tabika/Taska KEMAS ABCD bagi 2025 di Dewan Kampung Bunga Raya, di sini.

Sulaiman menegaskan operasi memburu reptilia itu akan diteruskan bagi mengurangkan konflik antara manusia dan buaya berikutan populasi buaya yang semakin meningkat di Sungai Limbang.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Limbang berkata pihaknya telah meningkatkan persediaan menghadapi kemungkinan hujan lebat dan banjir susulan amaran Jabatan Meteorologi.
“Jawatan kuasa bencana daerah telah menggerakkan semua agensi berkaitan, memperkukuh aset serta kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut. Penduduk di kawasan rendah dinasihatkan bersedia berpindah ke pusat penempatan yang telah disediakan sekiranya perlu,” jelasnya.
Turut hadir, wakil Pegawai KEMAS Bahagian Limbang, Suzana Wasli.
Oleh Adeng Edrus