
LAWAS: Sehingga kini, anggaran populasi buaya di seluruh Sarawak mencecah sekitar 25,000 ekor, berdasarkan tinjauan habitat dan pemantauan populasi yang dilaksanakan secara berterusan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).
Pengurus SFC Abang Arabi Abang Aimran, dalam satu kenyataan kepada Utusan Sarawak memberitahu taburan buaya yang meluas di lebih 4,500 kilometer sistem sungai melibatkan 40 lembangan utama negeri ini sememangnya menjadi cabaran besar, terutamanya dalam memastikan keselamatan masyarakat yang tinggal dan menjalankan aktiviti harian berhampiran sungai.
“Sebagai langkah bersepadu dan berterusan untuk menangani isu ini, SFC turut melaksanakan beberapa inisiatif utama, termasuk penubuhan Pasukan Petugas Khas Buaya (Divisional Crocodile Task Force) di setiap bahagian negeri.
“Pasukan ini ditugaskan untuk menyelaras tindakan segera terhadap aduan serta kejadian yang melibatkan buaya,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak pagi ini.
Katanya, antara inisiatif tersebut adalah SFC telah melancarkan Aplikasi Pemantauan Buaya Sarawak yang mana aplikasi mudah alih ini membolehkan orang awam melaporkan penemuan atau kejadian melibatkan buaya secara terus kepada SFC dengan capaian masa nyata.
Tambahnya, Pengeluaran Lesen Memburu dan Penuaian Buaya di Sarawak dilaksanakan secara terkawal bagi tujuan kawalan populasi spesies itu, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
“Galakan kepada Industri Pemerdagangan Hasil Buaya yang mana SFC menggalakkan pembangunan industri pemerdagangan sah seperti kulit dan daging buaya, sekali gus menyumbang kepada kawalan populasi serta pendapatan komuniti.
“Seterusnya, Penwujudan Kawasan Penyingkiran Buaya (Crocodile Removal Zone – CRZ). CRZ diwujudkan di kawasan berisiko tinggi yang mana buaya akan ditangkap atau dipindahkan bagi mengurangkan risiko kepada penduduk.
“Pelan Pengurusan Buaya Sarawak yang mana SFC sedang melaksanakan pelan pengurusan jangka panjang yang dibangunkan bersama perunding antarabangsa dari Australia, melibatkan pendekatan saintifik, pemantauan sistematik dan penglibatan komuniti.
“Penggubalan Perundangan Khas – Crocodile Rule 2025 iaitu Undang-undang khas ini sedang dirangka bagi memperkukuhkan kawal selia dan pengurusan populasi buaya di Sarawak, termasuk aspek pemantauan, penguatkuasaan dan pemerdagangan,” katanya.
SFC menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada, mengelakkan aktiviti terlalu dekat dengan tebing sungai, dan mematuhi semua papan tanda amaran terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat buaya. Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan semua pihak sentiasa terjaga.
Untuk sebarang maklumat lanjut atau laporan penemuan buaya, sila hubungi hotline SFC di nombor berikut: Kuching (019-8859996), Sibu (019-8883561), Bintulu (019-8332737) dan Miri (019-8290994).
Pihak SFC tidak berdiam diri terhadap ancaman buaya di Sarawak dan sentiasa merangka strategi yang sesuai mengimbangi kelestarian alam sekitar.
Oleh Adeng Edrus