CHERYL LAW
KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) akan memerangi secara berhabis-habisan terhadap kumpulan atau pemburu haram yang mengancam hidupan liar di negeri ini.
Dengan merujuk artikel Free Malaysia Today, satu laporan berita baru-baru ini menyatakan di Beijing, China, telah meluluskan penggunaan hempedu beruang bagi merawat Covid-19 selepas beberapa minggu lalu mengharamkan penjualan haiwan liar untuk makanan sekali gus menyatakan risiko penyebaran penyakit daripada haiwan ke manusia.
Penyelaras Komunikasi Monitor, Loretta Shepherd menyatakan satu kajian menunjukkan pemburu terus memburu beruang matahari untuk memenuhi permintaan pengamal perubatan tradisional Cina di Sabah dan Sarawak.
Susulan daripada itu, ia adalah dikhuatiri permintaan untuk hempedu beruang mungkin meningkat berikutan saranan Beijing dalam mempromosikan hempedu beruang sebagai ubat Covid-19.
Dalam satu kenyataan, Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang bekerjasama dengan Pejabat Residen dan Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Agensi Maritim, Penguasa Pelabuhan, Tentera Darat, dan agensi penguatkuasaan lain memberi amaran kepada pemburu haram dan penyeludup untuk dikenakan tindakan tegas termasuk hukuman penjara mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
“Sesiapa yang ditangkap memburu atau menjual bahagian beruang atau haiwan, atas sebab apa pun, akan dikenakan hukuman.
“Pada masa ini, apabila pakar penjagaan kesihatan barisan hadapan kita dan banyak sektor lain melakukan yang terbaik untuk mengekang dan merawat pesakit, pemburuan beruang bukan jalan penyelesaian,” katanya
Menurut kenyataan SFC, Sarawak turut mengetatkan kawalan pergerakan di sempadan serta mengawal pemburuan ke atas spesies yang terancam antara sempadan dan antarabangsa.
“Selain itu, SFC secara aktif mempromosikan kesedaran awam mengenai pemuliharaan hidupan liar melalui Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam sebelum Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dan akan meneruskan program ini selepas PKP ditamatkan. Semasa PKP ini, kami melakukan program ini melalui media sosial dan media arus perdana,” kata SFC.
Menurut SFC, kakitangan SFC dari pejabat serantau, pejabat tapak dan Swift Wildlife Action Team (SWAT) meningkatkan rondaan di pelbagai lokasi di seluruh Sarawak untuk mengelakkan sebarang aktiviti pemburuan haram.
Pegawai penguatkuasa sentiasa bersedia untuk menyiasat maklumat yang mereka terima. Manakala Pegawai Penguatkuasa Serantau bersama-sama dengan lebih 300 Renjer Hidupan Liar di seluruh negeri ini bekerjasama dan akan memberi isyarat kepada pasukan jika kegiatan tersebut dijumpai.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perdagangan hidupan liar diminta menghubungi talian hotline SFC di talian 016-8565564 / 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8223449 / 019-8332737 (Bintulu) dan 019-8290994 / 018- 9799778 (Miri).