

BERWASPADA sepanjang musim hujan ketika ini berikutan paras air sungai dan parit besar yang meningkat boleh meningkatkan risiko kemunculan buaya.
MIRI: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada sepanjang musim hujan ketika ini berikutan paras air sungai dan parit besar yang meningkat boleh meningkatkan risiko kemunculan buaya.
Menurut kenyataan SFC hari ini, keadaan hujan berterusan menyebabkan habitat buaya turut berubah, sekali gus berpotensi membawa reptilia itu menghampiri kawasan penempatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melalui atau bermain di kawasan parit besar perumahan dan tepi sungai ketika hujan lebat atau banjir kerana berkemungkinan berlaku penampakan buaya.
“Selain itu, peliharaan haiwan hendaklah dijaga dengan baik dan tidak dibiarkan berkeliaran pada musim tengkujuh ini bagi mengelakkan ancaman,” kata kenyataan itu.
SFC turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkaitan keselamatan, selain menyimpan nombor telefon kecemasan untuk dihubungi segera sekiranya berlaku kejadian melibatkan buaya.
Orang awam boleh merujuk kepada poster dan bahan hebahan rasmi yang dikeluarkan SFC untuk maklumat lanjut.
Oleh Adum Liu