
MIRI: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) telah menganjurkan Program Penilaian Bersepadu Biodiversiti dan Pengetahuan Tradisional yang berlangsung selama dua minggu bermula 25 Oktober 2025 di kawasan Bukit Keluan, Ulu Baram.
Program ini dianjurkan melalui Bahagian Pemuliharaan dan Penyelidikan Biodiversiti (BCR) dengan kerjasama Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC).
Menurut kenyataan SFC melalui hantaran Facebook hari ini, penilaian berkenaan diketuai oleh Ketua Seksyen Penyelidikan dan Pemuliharaan Flora, Muliati Musa, bersama pasukan penyelidik flora dan fauna serta renjer dari Pejabat Wilayah Miri.
“Program ini bagi memastikan pengumpulan sampel lapangan dan dokumentasi spesies dilaksanakan secara menyeluruh.
“Inisiatif kolaboratif ini mencerminkan komitmen berterusan SFC dalam memperkukuh penyelidikan saintifik, penglibatan komuniti serta usaha pemuliharaan biodiversiti di kawasan pedalaman Sarawak.
“Ia juga seiring dengan matlamat negeri untuk memelihara ekosistem semula jadi dan menggalakkan penggunaan sumber secara lestari,” katanya.
Sehubungan itu, SBC turut menghantar pasukan seramai 15 pegawai dan penyelidik untuk menyertai ekspedisi ini, yang turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Dr. Yeo Tiong Chia, dalam lawatan sehari ke Air Terjun Tiga Beradik (Three Sisters Waterfall).
Beliau juga merasmikan sesi Ceramah Kesedaran Pemuliharaan Komuniti, yang menekankan Projek Dokumentasi Pengetahuan Tradisional dan Kesedaran Biopirasi yang dikendalikan oleh pegawai SBC.
Oleh Adum Liu