
SARIKEI: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) membuka permohonan lesen untuk memburu buaya kepada individu yang berminat.
Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata ia juga termasuk lesen untuk menjual buaya, lesen membuka ladang buaya dan lesen untuk mengeksport buaya dan produk dari reptila itu.
“Permohonan lesen terbuka kepada individu berminat dan permohonan boleh dibuat secara manual dengan mengisi borang atau permohonan melalui portal e-Licensing.
“Untuk lesen memburu, kuota dan kawasan memburu akan diberi untuk mengawal aktiviti pemburuan.
“Secara purata sehingga kini, 70 lesen memburu buaya dikeluarkan setiap tahun. Namun berdasarkan rekod kita, sesetengah pemburu tidak aktif dengan tiada tangkapan buaya dilaporkan,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Abang Arabi berkata pihak SFC berterusan menambahbaik sistem lesen yang diberikan itu.
Bagaimanapun katanya, SFC sedang menambah baik terma dan syarat lesen.
Antaranya, setiap pemburu berlesen perlu menyerahkan rekod pemburuan bersama maklumat tambahan termasuk ukuran dan juga gambar hasil tangkapan untuk mengesahkan aktiviti pemburuan sebelum permohonan pembaharuan lesen diproses.
“Pemohonan pembaruan lesen yang tiada rekod tangkapan perlu mengemukakan alasan kukuh tiada tangkapan diperoleh.
“Pertimbangan pemohonan pembaharuan lesen dan penambahan kuota berdasar rekod tangkapan,” katanya.
Beliau berkata SFC kurang menerima permohonan lesen memburu dan menjual buaya di sesetengah kawasan termasuk di Limbang dan Lawas.
Sesi libat urus dan taklimat katanya, akan diadakan untuk memberi penerangan kepada komuniti tentang potensi manfaat ekonomi melalui penggunaan buaya secara lestari, termasuk dalam aktiviti ekopelancongan, peladangan, penjualan dan eksport serta cara permohonan lesen.
“Langkah penambahbaikan ini bersama penambahbaikan lain yang masih dalam perancangan diharapkan dapat menggalakan pemilik lesen aktiviti berkaitan buaya untuk memanfaat lesen,” katanya.
Oleh Earl Anek