Oleh: Bandang Galayan
PAGI itu hujan turun mencurah-curah tanpa henti sesekali diiringi dentuman guruh yang sungguh menakutkan. Petir juga turut memercik sinar seperti mahu membelah bumi. Suasana bingit kedengaran bunyi hujan bercampur-baur suara jeritan anak murid yang saling berkejaran antara satu sama lain. Aku hanya merenung dari beranda bilik guru ke arah murid-murid yang berkejar-kejaran itu kerana mereka cuba untuk berlari ke arah hujan yang sudah pasti menyeronokkan tetapi boleh berlaku sesuatu yang tidak diingini kerana malang itu tidak berbau. Melihat aku tercegat di situ mereka terus bertempiaran lari menuju ke kelas masing-masing.
Ketika loceng berdering dalam samar-samar senada dengan deruan hujan yang semakin nyaring, kelas pertama pun bermula. Senarai kehadiran murid-murid yang dipaparkan di papan kenyataan Hal Ehwal Murid menunjukkan ramai murid yang tidak hadir ke sekolah pada pagi itu. Tentu disebabkan hujan lebat. Laluan perjalanan murid-murid dari rumah mereka akan berlecak dan dipenuhi air yang bertakung. Mereka tiada pilihan lain, sama ada meredah jalan yang lecak atau membatalkan niat untuk hadir ke sekolah. Aku pernah terdengar perbualan sekumpulan murid-murid nakal di sekolah tentang hujan. Mereka sangat berharap hujan turun awal pagi kerana itu boleh menjadi alasan mereka untuk tidak hadir ke sekolah. Aku terkilan dan sedih mendengarnya. Kata mereka, jika mahu hujan turun kita perlu mentertawakan seekor kodok atau membunuh kodok tersebut. Entah daripada siapa mereka mendengar teori itu aku sendiri tak tahu.
Aku duduk termenung di dalam bilik guru sementara menunggu loceng berbunyi untuk aku masuk ke kelas Tahun 2 Kenanga. Tanganku masih ligat menyemak buku latihan sementara fikiranku melayang-layang memikirkan murid-murid yang tidak hadir ke sekolah pada hari itu. Alangkah ruginya mereka ketinggalan dalam pelajaran hanya kerana hujan. Lamunanku terhenti. Aku dikejutkan oleh Cikgu Dennis yang duduk di meja sebelahku. Aku bingkas bangun lalu meraup buku-buku dan alat tulis yang perlu aku bawa ke kelas Tahun 2 Kenanga untuk subjek Bahasa Melayu. Setiap kali masuk mengajar kelas Tahun 2 Kenanga akulah orang yang paling teruja kerana berjumpa dengan anak-anak kecil yang menjadi penghibur duka di kala aku merindukan keluarga yang jauh di mata.
Belum sempat aku menerjah masuk ke dalam kelas, Balan sudah menunggu kehadiran aku beberapa langkah di luar pintu bilik darjah. Seperti selalu Balan akan menghulurkan tangan untuk mengambil buku-buku di tanganku lalu pantas dia bergerak ke meja guru untuk meletakkan buku-buku itu. Waima Balan baru darjah dua tetapi dia pernah beberapa kali memenangi program “Murid Pilihan Bulanan” yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah. Sahsiah yang baik dan keperibadian unggul yang ditunjukkan oleh Balan menyebabkan ramai guru yang memilih dia sebagai murid pilihan.
Banyak kerusi kosong pada hari itu. Mataku melilau-lilau mencari Jau. Hatiku mula rasa khuatir dan tertanya-tanya.
“Cikgu, mayung Jau nenek dia cakap. Panas badan dia. Muntah-muntah dia semalam.” Jelas Killah yang rumahnya bersebelahan dengan rumah Jau.
“Terima kasih Killah sebab memberitahu cikgu apa yang terjadi dengan Jau. Balik nanti sampaikan salam cikgu kepada Jau. Cikgu doakan dia cepat sembuh.” Balasku dengan rasa sebak kerana aku paling risau jika ada dalam kalangan muridku yang diserang demam kerana kawasan tempat aku berkhidmat itu tidak ada klinik kesihatan malah untuk sampai ke klinik yang dikatakan berdekatan juga memerlukan masa lebih dua jam.
“Sama-sama cikgu. Cikgu datanglah melawat dia di rumah nanti. Mana tau kalau dia boleh sembuh bila tengok wajah cikgu kesayangan dia tu.” Aku hanya tersenyum kecil sahaja membalas pelawaan Killah itu.
Hari berganti hari, detik merubah waktu, hujan sudah berhenti, hanya langit selalu kelabu tetapi mengapa kelibat Jau belum lagi kelihatan walau cuma bayangan juga tiada dalam kesamaran. Aku bimbang Jau akan ketinggalan banyak dalam pelajaran. Selama aku berada di sekolah itu belum pernah lagi ada murid yang demam sampai berminggu-minggu tidak hadir ke sekolah melainkan yang terlantar di hospital atas sebab penyakit kronik. Memandangkan aku tidak turun ke bandar pada hujung minggu, aku bercadang mahu melawat Jau dan neneknya di rumah mereka. Sudah lama juga aku tidak menjenguk keadaan nenek Jau. Entah sihat entah tidak orang tua itu. Rambutnya hampir memutih kesemuanya. Usai sahaja menghabiskan dan menikmati sarapan pagi aku terus keluar dari rumah menuju ke arah kampung. Aku membawa sedikit sandwic dan mihun goreng untuk Jau dan neneknya. Perjalanan menuju ke rumah mereka tidaklah begitu jauh. Hanya sebatang rokok sahaja sudah sampai bak kata orang-orang tua dulu.
Cuaca agak baik dihiasi langit membiru tenang tiada kepulan awan kelabu. Aku membayangkan nenek Jau sedang menjemur padi di perkarangan rumahnya seperti selalu. Jau pula mungkin sedang mengejar ayam dan itik di bawah sebatang pokok rambutan yang renek. Kalau tidak pun mungkin Jau sedang memancing di sebatang sungai kecil di belakang rumah mereka. Di situ banyak ikan keli, ikan haruan dan ikan puyu menurut Jau dan aku juga pernah memancing di situ bersama Jau dengan neneknya. Pada masa itu banyak ikan yang kami dapat memancing dari pagi sehingga lewat petang. Seronok sangat dapat meluangkan masa dengan aktiviti yang kita suka.
Ramalan dan sangkaan aku pada kali itu memang tidak benar belaka. Setibanya aku di depan pintu rumah Jau suasana sunyi dan sepi. Kedatanganku disambut oleh Daru, anjing kesayangan nenek Jau. Berkali-kali Daru mahu memanjat ke arah badanku seolah-olah mahu berbisik menyatakan sesuatu. Aku mengusap kepala Daru berkali-kali dan cuba bertanya kepada Daru ke mana perginya Jau dan neneknya pada ketika itu. Daru terus menggeser-geserkan kepalanya di kakiku.
“Avek un Jau, cikgu. Avek un nenek. Pergike sulap. Alak parai.” Aku dikejutkan oleh suara Mak Killah yang memberitahu bahawa Jau dan neneknya tiada di rumah. Tanpa berlengah aku terus berlalu meninggalkan perkarangan rumah Jau dan Mak Killah yang masih tercegat di situ. Aku gagahkan diri berjalan kaki menuju ke arah sawah padi nenek Jau yang terletak empat kilometer jaraknya dari situ. Syukur kerana perut sudah dialas maka aku mampu untuk berjalan sejauh itu dengan kudrat dan tenaga yang ada.
Aku menempuh perjalanan selama lebih lima puluh minit untuk sampai di kawasan sawah padi nenek Jau. Daru mengekori aku dari belakang sambil menggoyang-goyangkan ekornya. Riak wajah Daru berubah ceria mungkin kerana ia tahu kami sudah sampai di destinasi yang dituju. Daru juga teruja mahu berjumpa dengan tuannya sendiri. Dari jauh aku sudah melihat kelibat Jau dengan neneknya yang sedang sibuk menuai padi. Aku melambai-lambai sambil memanggil-manggil Jau dan neneknya. Aku begitu teruja berjumpa mereka. Jau melompat-lompat keriangan sambil suaranya nyaring memanggil-manggil diriku. Dia berlari melepaskan raga yang digunakan menyimpan padi lalu memeluk erat tubuhku.
“Jau apa khabar? Nenek sihat?”
“Khabar baik cikgu. Nenek pun sihat. Tidak letihkah cikgu jalan kaki datang sini?”
“Mana ada letih. Bagus juga dapat mengeluarkan peluh.” Balasku masih tercungap-cungap menghembus nafas.
Aku menghulurkan bekas makanan yang aku bawa kepada Jau dan memanggil nenek untuk makan bersama-sama. Jau berlari ke arah sungai mengambil sebaldi air untuk digunakan mencuci tangan. Nenek duduk bersebelahan denganku sambil menepuk lututku beberapa kali. Nenek memang selalu begitu bagi melahirkan pujiannya terhadap kegigihan aku berjalan kaki menempuh perjalanan yang jauh itu. Kami berbual-bual sambil Jau dan nenek menikmati sandwic dan mihun goreng sebelum menyambung semula aktiviti menuai padi.
“Cikgu nak parai?” Soal nenek secara tiba-tiba. Aku tergelak di dalam hati mendengar soalan itu. Dalam bahasa Iban, parai bermaksud mati.
“Kalau nenek bagi mahu juga sedikit. Kaduk parai nenek dapat tahun ni?” Soalku pula.
“Avek kaduk. Cukup-cukup makan sahaja tu cikgu.” Balas nenek dengan riak wajah yang hampa.
Aku tahu padi di sawah nenek tidak berapa menjadi pada tahun itu kerana diserang oleh haiwan liar seperti babi hutan, rusa dan tikus.
“Tidak apa tu nenek. Simpan untuk nenek dengan Jau sahaja. Nanti kalau ada orang jual saya boleh beli daripada mereka.” Jawabku sambil menghulurkan sandwic yang terakhir kepada nenek.
Usai sahaja makan-makan Jau mengajak aku untuk memancing di sungai yang tidak jauh dari situ. Jau menghulurkan aku sebatang joran yang diperbuat daripada sebatang dahan pokok. Jau juga turut membantu aku memasang umpan. Kami duduk di tebing sungai sambil menunggu ikan terkena umpan. Tidak lama selepas itu pancing Jau seperti ditarik-tarik oleh ikan. Dia menjerit kegembiraan. Pancingnya terkena seekor ikan haruan yang besar.
“Jau, kenapa cikgu dengan Jau mayung hari tu? Nenek ada bagi makan ubat?” Soalku ingin tahu apa sebenarnya Jau sakit atau sebaliknya.
Wajahnya berubah merah seperti tertelan sesuatu yang kelat. Aku rasa serba salah mengajukan soalan itu pada ketika itu. Jau masih berat untuk membuka mulutnya untuk bersuara. Sesekali perbualan kami diganggu oleh proses membuka mata kail pada mulut ikan yang termakan umpan. Jau seperti mengelak daripada menjawab soalan-soalan yang aku ajukan.
“Cikgu cuma risau kalau Jau banyak ketinggalan dalam pelajaran. Hari tu Cikgu Iswandi ajak kawan-kawan Jau melancarkan roket buatan mereka masa kelas Sains. Cikgu Hilda juga membuat permainan roda impian semasa kelas Bahasa Inggeris. Cikgu tengok mereka sangat seronok.”
“Wah, seronoknya cikgu! Tak sabar saya nak pergi sekolah lagi.” Balas Jau teruja.
“Cikgu-cikgu di sekolah memang tunggu kehadiran Jau. Kawan-kawan pun tak sabar nak jumpa Jau. Kenapa Jau tak datang sekolah seminggu yang lalu?”
“Cikgu…sebenarnya.” Jawab Jau sepatah dua kata sahaja.
“Sebenarnya apa Jau? Jau ada apa-apa masalah?” Soalku melulu.
“Avek cikgu. Nyem barak do cikgu. Nenek tak suruh saya turun sekolah.” Jawab Jau ketakutan.
“Kenapa pula nenek tak suruh pergi sekolah?”
“Nenek suruh tolong dia ketam parai. Kalau parai masih banyak macam mana. Saya mahu pergi sekolah tapi do tidak suruh.”
Aku menghampiri Jau lalu memeluk erat tubuhnya yang kecil itu. Sesekali aku melihat titisan air mata mula menyusuri pipinya. Aku tahu semangat Jau untuk hadir ke sekolah sangat tinggi kerana dia seorang murid yang cepat belajar. Bukan pertama kali nenek menghalang Jau pergi ke sekolah untuk membantunya di sawah tetapi pernah juga nenek bertindak sedemikian tetapi dengan alasan yang lain. Aku tidak tahu pada kali ini aku mampu mematahkan persepsi nenek itu dengan pujukan atau sebaliknya. Nenek jarang dapat mengubah pendiriannya.
“Jau jangan risau. Nanti cikgu cakap dengan nenek baik-baik. Jau pasti akan pergi sekolah nanti.” Pujukku sambil mengajak Jau pergi kembali ke sulap mereka.
Belum sempat kami berdua sampai di sulap sudah kedengaran suara nenek memanggil-manggil. Jau menjawab panggilan nenek itu kerana bimbang nenek tidak mendengar suaranya. Nenek menyuruh kami berdua untuk mencuci tangan kerana makanan tengah hari sudah terhidang. Jau menghulurkan baldi yang berisi beberapa ekor ikan itu kepada nenek.
Kami bertiga makan tengah hari dengan penuh selera. Sudah lama aku tidak menikmati suasana seperti itu. Waima terasa bahang panas matahari di luar tetapi angin bertiup sepoi-sepoi bahasa yang mendinginkan meningkatkan lagi selera rasa. Hidangan daun timun yang dicampur dengan buah timun, daun labu, hirisan jagung dan salai ikan keli memang terbaik. Tak terasa pula mengambil nasi kali kedua pada ketika itu.
“Sedap betul lauk yang nenek masak. Teringat pula dengan ibu yang berada di kampung. Ibu pun suka masak seperti yang nenek masak ini.” Pujiku sambil terkenang akan ibuku yang jauh di mata tetapi selalu dekat di hati.
“Biasa-biasa sahaja nenek masak tu cikgu. Cikgu nyem malu-malu. Uman mung lauk yang ada tu.” Balas nenek dengan rendah diri.
Selesai sahaja makan aku terus membantu nenek mencuci pinggan dan mangkuk. Aku betul-betul seperti ular sawa yang kekenyangan. Jau merenung ke arah aku seperti memberi isyarat untuk aku meminta izin daripada nenek supaya dia boleh bersekolah seperti biasa. Fahaman nenek tentang sekolah berbeza dengan fahaman orang lain. Nenek lebih menerapkan ilmu tidak formal berbanding ilmu pelajaran yang dituntut di sekolah. Aku pernah terkedu mendengar hujah keluar dari mulut nenek tentang pandangannya terhadap pendidikan.
“Nenek belum menuai padi lagi? Kalau boleh saya nak tolong nenek.” Soalku untuk memulakan perbualan.
“Belum lagi. Masih panas kat luar sana.” Jawabnya pula.
“Nenek kalau Jau dah sihat bolehkah dia pergi sekolah macam biasa? Lama juga sudah dia tidak datang ke sekolah. Kesian dia tinggal dalam pelajaran.” Soalku penuh dengan keberanian.
“Kalau dia pergi sekolah siapa pula tolong nenek dekat sawah sini?” Jawab nenek membuatkan aku serba salah.
“Apalah sangat tulang dua kerat Jau tu yang nenek harapkan. Saya boleh tolong nenek selepas waktu sekolah habis tapi saya nak Jau datang sekolah macam biasa. Jau budak pandai dalam kelas. Kalau Jau berjaya suatu hari nanti nenek juga yang senang. Kita bukan belajar untuk kelangsungan hidup seperti yang nenek cakap tu sahaja tetapi kita perlu ada ilmu juga untuk hidup di zaman sekarang ni nenek. Kalau nenek halang Jau untuk pergi ke sekolah bukan Jau sahaja yang rugi tetapi nenek juga kerana menutup peluang dan ruang untuk cucu nenek mendapatkan ilmu.” Jelasku panjang lebar memujuk nenek yang hatinya sekeras batu itu.
Nenek hanya duduk diam membisu. Matanya berkaca dan berkecai pecah ditembusi deras air yang mengalir laju. Berkali-kali nenek menepuk dahi dan dadanya mungkin kesal dengan tindakannya selama ini. Aku tidak mampu untuk menyelami apa yang ingin disampaikannya. Nenek bingkas bangun terus memelukku. Aku hanya tersenyum sambil linangan air mataku juga mengalir kegembiraan. Aku tahu nenek menerima sebulat hati apa yang aku sampaikan kepadanya. Aku sangkakan hati nenek sekeras batu tetapi rupanya mampu dilembutkan juga.
“Nenek minta maaf cikgu. Lepas ni nenek pastikan Jau akan pergi ke sekolah setiap hari. Nenek boleh kerjakan sawah ni seorang diri.” Balas nenek membuatkan aku rasa lega mendengarnya.
Tidak ada yang lebih baik daripada apa yang aku dengar dari mulut nenek bahawa nenek membenarkan Jau untuk hadir ke sekolah seperti biasa. Jau turut berasa gembira mendengar apa yang nenek katakan.
“Terima kasih, cikgu.” Ujar Jau sambil tidak mahu melepaskan dakapannya terhadapku. Aku tahu semangat Jau sudah muncul semula dan sudah pasti dia gembira untuk berjumpa dengan rakan-rakannya di sekolah nanti.
Hidup sebagai seorang guru bukanlah sekadar menjalankan amanah tetapi melihat kejayaan anak didik mencapai cita-cita dan menjadi seorang dewasa yang berjaya adalah satu kejayaan yang luar biasa bagi seorang guru. Dalam hal Jau dan neneknya aku bukanlah sengaja masuk campur tetapi dengan niat mahu Jau hadir ke sekolah untuk menuntut ilmu seperti mana rakan-rakan yang lain adalah menjadi tanggungjawab aku juga. Aku hanya mahu menjadi setitis air yang menyirami layunya hati dan perasaan nenek Jau yang berputus asa untuk membenarkan Jau meneruskan sesi persekolahannya. Maka, tidaklah rugi menjadi setitis air untuk sekuntum bunga yang berputus asa…
Glosari
(Bahasa sukuan Sarawak etnik Kenyah Uma Pawa Long Apu, Baram)
Mayung sakit, tidak sihat atau demam
Avek tidak
Un ada
Sulap pondok kecil di sawah untuk menyimpan padi
Alak ambil
Parai padi
Kaduk banyak
Nyem jangan
Barak beritahu atau melaporkan
Do nenek
Atok ikan
Uman makan
Mung semua
Ukat boleh