
KUCHING: Perkhidmatan awam Sarawak perlu terus beroperasi secara cekap dan efisien tanpa peluasan tenaga kerja yang tidak perlu, selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan di semua peringkat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata sebarang penambahbaikan atau penstrukturan semula dalam agensi kerajaan perlu memberi keutamaan kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti, bukannya penambahan bilangan kakitangan.
“Pertambahan tanggungjawab yang dihadapi oleh sesebuah agensi tidak seharusnya secara automatik diterjemahkan kepada permohonan tenaga kerja baharu, sebaliknya perlu ditangani melalui penambahbaikan sistem, penggunaan teknologi serta amalan kerja yang lebih berkesan.”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak yang berlangsung di Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.
“Perkhidmatan awam hari ini mesti diurus secara cekap dan efisien. Kita tidak boleh beranggapan bahawa setiap peningkatan tanggungjawab memerlukan pertambahan tenaga kerja,” ujarnya lanjut.
Beliau juga menjelaskan bahawa peluasan organisasi secara berlebihan berpotensi menjejaskan keupayaan institusi kerajaan untuk kekal tangkas dan responsif terhadap perubahan keperluan serta jangkaan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan penyumberluaran sebagai antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan beban operasi agensi kerajaan, khususnya bagi fungsi yang tidak bersifat teras.
“Penyumberluaran dapat membantu mengurangkan beban perkhidmatan awam bagi urusan bukan teras, sekali gus membolehkan agensi memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab utama mereka,” jelas beliau.
Pada masa sama, Abu Bakar mengingatkan penjawat awam bahawa kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan negeri menuntut komitmen tinggi terhadap integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam setiap pelaksanaan tugas.
Beliau menambah bahawa agensi Islam khususnya perlu terus menjadi contoh dalam aspek tadbir urus berdisiplin serta pengurusan berkesan, seiring usaha Sarawak memperkukuh kerangka penyampaian perkhidmatan awam negeri.
Oleh Adele Rissa