
PETRA JAYA: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah menyempurnakan upacara bulanan menaikkan bendera Ibu Pertiwi edisi Ogos yang berlangsung di Dataran Pertiwi, di sini, hari ini.
Sebagaimana lazimnya, simbol kebanggaan Ibu Pertiwi itu dikibarkan dengan penuh adat istiadat.
Bendera berukuran 25 meter panjang dan 12.4 meter lebar itu dikibarkan pada tiang setinggi 99.4 meter melambangkan semangat jati diri dan perpaduan warga kota yang tidak pernah pudar.
Majlis dimulakan dengan perbarisan Kawalan Kehormatan oleh anggota Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) diikuti nyanyian lagu kebesaran Sarawak, Ibu Pertiwi.
Suasana majlis turut diserikan dengan persembahan khas berunsur seni warisan tempatan yang mencerminkan keharmonian pelbagai kaum di Bumi Kenyalang.
Upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi merupakan inisiatif DBKU untuk memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak.
Sejak diperkenalkan pada Julai 2024, ia telah menjadi acara bulanan, dengan Premier Sarawak menyempurnakan edisi pertama.
DBKU menjadikan upacara ini sebagai platform untuk menzahirkan rasa cinta kepada tanah air melalui pengibaran megah bendera Ibu Pertiwi di mercu tanda utama bandar raya Kuching, sekali gus memperkukuh semangat jati diri dan patriotisme warga bandar raya sejajar aspirasi kepimpinan negeri.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu jemputan lain. -UKAS