
JAKARTA: Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menyarankan kerjasama lebih mendalam antara Asia Tenggara dan New Zealand dalam menghadapi ketegangan perdagangan global yang semakin memuncak serta peralihan dinamik kuasa antarabangsa.
Beliau memberi amaran bahawa sistem antarabangsa kini sedang mengalami perubahan besar, dengan peningkatan amalan perlindungan perdagangan, pertikaian tarif dalam kalangan kuasa ekonomi utama serta komitmen yang semakin lemah terhadap perdagangan terbuka.
“Peningkatan tarif oleh kuasa ekonomi utama baru-baru ini telah menggoncang rantaian bekalan global dan pasaran kewangan,” katanya dalam ucapan khas di Universiti Auckland sempena ulang tahun ke-50 hubungan ASEAN-New Zealand.
“Kita juga berdepan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, perubahan iklim yang pantas, gangguan teknologi serta penjajaran semula besar dalam tadbir urus global,” katanya lagi menurut teks ucapan yang disediakan Sekretariat ASEAN.
Sebagai respons terhadap perkembangan ini, Kao menegaskan bahawa kerjasama yang kukuh berasaskan prinsip bersama, kepentingan serantau, saling menghormati dan kolaborasi amat penting, dengan hubungan ASEAN-New Zealand menjadi satu contoh yang baik.
Tarif Amerika Syarikat dan Respons ASEAN
Mengulas pengumuman dasar perdagangan terbaharu oleh Amerika Syarikat, beliau berkata integrasi mendalam ASEAN dalam rantaian bekalan global menjadikan rantau ini amat terdedah kepada kejutan ekonomi luar.
Kao menggesa ASEAN dan New Zealand bekerjasama rapat bagi memastikan perubahan dinamik perdagangan tidak menjejaskan sistem perdagangan multilateralisme berasaskan peraturan yang disokong oleh kedua-dua pihak.
“Dalam mesyuarat khas baru-baru ini, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN mengulangi komitmen mereka untuk terus berdialog secara terbuka dan konstruktif dengan Amerika Syarikat bagi menangani isu perdagangan,” katanya.
Sebaliknya, ASEAN memilih untuk tidak membalas tindakan itu dan mengekalkan komitmen terhadap sistem perdagangan global yang terbuka, boleh dijangka dan berasaskan peraturan, katanya.
Wawasan ASEAN 2045 dan Peranan Rakan Luar
Kao turut mengumumkan bahawa ASEAN akan meluluskan Wawasan ASEAN 2045 pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur bulan ini, yang merupakan visi 20 tahun pertama bagi agenda pembinaan komuniti rantau ini. Wawasan itu disokong oleh empat pelan strategik – keselamatan politik, ekonomi, sosio-budaya dan kesalinghubungan.
“Wawasan ini membayangkan ASEAN sebagai sebuah rantau yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berorientasikan rakyat dalam mendepani “megatrend” masa kini dan masa hadapan. Ia meletakkan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan di Indo-Pasifik,” katanya.
Beliau menegaskan rakan luar seperti New Zealand memainkan peranan penting dalam merealisasikan matlamat Wawasan ASEAN 2045.
Kao berkata: “Lima dekad kerjasama ASEAN-New Zealand telah mewujudkan asas kukuh untuk hubungan yang lebih erat dan bermakna pada masa hadapan.”
Kao sedang mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN dalam lawatan kerja ke Auckland dan Wellington dari 12 hingga 14 Mei atas jemputan Kerajaan New Zealand.
-Bernama