LUNDU: Semua kementerian, agensi kerajaan serta sektor swasta dinasihatkan menjadikan Hari Keluarga sebagai acara tahunan, terutamanya sepanjang November, dalam usaha memperkukuhkan institusi keluarga di Malaysia.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, berkata sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan perlu diperluaskan melibatkan semua pihak agar kesejahteraan keluarga dapat dipertingkatkan.
“Setakat ini, tiga kementerian telah melaksanakan Hari Keluarga masing-masing, iaitu Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi.
“Saya mengucapkan syabas kepada kementerian-kementerian ini kerana mendahului langkah positif ini,” katanya pada majlis perasmian Kem Kasih Keluarga di Pantai Pugu, di sini, hari ini.
Menurut Nancy, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti juga digalakkan melaksanakan program kesejahteraan keluarga.
Katanya, majikan yang menganjurkan program kekeluargaan layak menikmati pelepasan cukai.
Dalam pada itu, Nancy menyatakan bahawa kementeriannya menerima peruntukan sebanyak RM3.6 bilion melalui pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri pada bulan lalu bagi menjayakan agenda pemerkasaan keluarga di Malaysia.
“Peruntukan ini mencerminkan betapa serius kerajaan untuk memperkukuh institusi keluarga, selain memastikan program yang dilaksanakan memberi manfaat secara inklusif kepada masyarakat,” katanya.
Beliau menambah, tema sambutan tahun ini, ‘KASIH Keluarga, Jiwa MADANI’, menekankan elemen kasih sayang dan keharmonian dalam keluarga sebagai asas pembinaan masyarakat yang berteraskan prinsip MADANI.
Kem Kasih Keluarga yang berlangsung hari ini merupakan sebahagian program utama Bulan Keluarga Kebangsaan 2024, selepas perasmiannya oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 9 November lalu di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
Majlis di Pantai Pugu di sini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato Sri Rohani Abdul Karim dan Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusup Awang Mostapha.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron; dan Pengarah Institut Sosial Malaysia, Dr Faridah Awang.
Untuk makluman, program turut menyaksikan hampir 1,000 peserta dari pelbagai agensi dan masyarakat setempat mendirikan khemah untuk bermalam di Pantai Pugu.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan pada program ini seperti bola sepak pantai dan bola tampar.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
utama Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2024 yang telah dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 9 November lalu bertempat di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.