KOTA KINABALU: Setem Borneo Utara bukan sekadar medium penghantaran surat pada era pentadbiran British North Borneo Chartered Company, malah memainkan peranan penting sebagai instrumen ekonomi yang menjana hasil kepada kerajaan ketika itu.
Pengasas merangkap Presiden Persatuan Sejarah Borneo Sabah Dr Shari Jeffri berkata setem pada zaman berkenaan berfungsi sebagai sumber pendapatan utama kerajaan memandangkan setiap urusan penghantaran surat serta perkhidmatan rasmi memerlukan pembelian setem.

Beliau menjelaskan bahawa antara dokumen rasmi yang memerlukan penggunaan setem hasil termasuklah lesen senjata api, lesen penternakan, permit mengutip sarang burung serta pelbagai urusan pentadbiran lain.
“Bukan wang sahaja menjadi instrumen ekonomi, malah setem juga menjana pendapatan kepada kerajaan kerana orang ramai perlu membelinya untuk menghantar surat, selain digunakan pada pelbagai dokumen dan lesen rasmi.
“Fungsi setem pada ketika itu melangkaui perkhidmatan pos biasa kerana ia dilekatkan pada pelbagai dokumen rasmi dan lesen bagi mengesahkan pembayaran cukai atau fi kepada pihak kerajaan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata bagi meningkatkan nilai serta imej setem wilayah berkenaan, pihak pentadbiran British North Borneo Chartered Company telah mendapatkan khidmat pengukir terkenal dari Britain termasuk J H C Harrison.

Sentuhan seni pengukir terkemuka itu bukan sahaja menghasilkan reka bentuk yang menarik, malah menjadikan setem Borneo Utara antara koleksi filateli yang mendapat perhatian pengumpul di seluruh dunia sehingga hari ini.
Shari, yang juga Ketua Biro Penerangan dan Publisiti Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sabah berkata setem keluaran 1883 yang kini menjadi koleksi peribadinya disifatkan sebagai aset amat bernilai.
Beliau berkata bagi seorang pengumpul filateli, memiliki setem Borneo Utara yang berusia ratusan tahun mampu mencecah nilai ratusan hingga ribuan ringgit mengikut keunikan ciri-cirinya.
Faktor utama yang menentukan nilai tinggi kepingan setem tersebut merangkumi tahun cetakan, kesilapan pada cetakan, serta tahap kesukaran untuk memperoleh bahan khazanah berkenaan.

Beliau bagaimanapun menyatakan kebimbangan kerana setem-setem bernilai tinggi itu semakin sukar diperoleh di pasaran tempatan berikutan banyak yang telah dibeli pengumpul dari luar negara.
Beliau turut mengetengahkan isu kekurangan buku rujukan mengenai setem Borneo Utara di Sabah yang menyukarkan penyelidik, pelajar, dan peniaga antik tempatan untuk membuat penilaian tepat atau mendidik generasi baharu.
“Ketiadaan rujukan tempatan ini menyukarkan usaha kita untuk mewujudkan industri lelongan atau pengedar berlesen di sini, sekali gus menyebabkan pasaran filateli tempatan dikuasai pihak luar,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan penubuhan sebuah pusat pameran khusus yang mempamerkan koleksi setem Borneo Utara di Sabah bagi menarik kehadiran pelancong antarabangsa serta peminat filateli dari seluruh dunia. – Bernama





