
Pemandangan menunjukkan istana presiden dan bangunan berhampiran di IKN. - Foto AFP
NUSANTARA, Indonesia: Setahun selepas dirasmikan, ibu kota baharu Indonesia, Nusantara, masih sepi walaupun mempunyai istana presiden dan jalan raya baharu yang gah.
Projek legasi bekas presiden, Joko Widodo atau Jokowi itu kini berdepan pemotongan bajet, pembinaan perlahan dan kurang minat daripada pentadbiran baharu.
Difahamkan, Presiden Prabowo Subianto lebih menumpukan kepada projek kebajikan sosial berbanding pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN).
Setakat ini, hanya lebih 1,000 kakitangan pihak berkuasa dan beberapa ratus pekerja kementerian, perkhidmatan dan perubatan menetap di bandar itu.
Jumlah itu jauh ketinggalan berbanding 12 juta penduduk Jakarta, malah sasaran Nusantara untuk menempatkan dua juta penduduk menjelang 2045 juga masih samar.
Dalam pada itu, Prabowo hanya menyebut sekali mengenai IKN dalam ucapan sulungnya, selain turut memotong dana projek berkenaan.
Peruntukan rasmi merosot daripada 43.4 trilion rupiah (kira-kira RM12.6 bilion) pada 2024 kepada hanya 6.3 trilion rupiah (kira-kira RM1.83 bilion) pada 2026.
Malah, permohonan bajet lebih 21 trilion rupiah (kira-kira RM6.09 bilion) oleh pihak berkuasa bagi 2026 juga tidak diluluskan, sekali gus menjejaskan banyak projek pembinaan.
Setakat ini, hanya 800 hektar daripada 6,600 hektar kawasan teras kerajaan berjaya dibangunkan atau disiapkan untuk pembinaan.
Sementara itu, Ketua Pihak Berkuasa Nusantara, Basuki Hadimuljono berkata, projek di kawasan eksekutif kecil termasuk istana presiden dan kementerian hampir 98 peratus siap.
Beliau mendakwa Prabowo mahu berpindah ke Nusantara pada 2028 sebelum pilihan raya presiden akan datang, selepas kawasan legislatif dan kehakiman disiapkan.
Bagaimanapun, sebahagian kakitangan kerajaan ragu-ragu untuk berpindah ke bandar hutan yang masih belum sempurna dan terletak 1,200 kilometer dari Jakarta.
Kini, Nusantara hanya mempunyai tiga hospital berfungsi, kedai kopi, lebuh raya bertol ke Balikpapan dan sebuah lapangan terbang yang menunggu kelulusan komersial.
Bagi Abduh Rajab, 57, yang berniaga makanan ringan berhampiran pusat bandar berkata, pendapatannya merosot hampir 60 peratus berbanding ketika era Jokowi yang menyaksikan ramai pekerja dan kunjungan setiap hari.
“Saya perlu kekal optimis. Saya harap pembinaan akan diteruskan,” katanya.
Meskipun terdapat pelancong yang teruja melihat istana berbentuk burung Garuda, penganalisis memberi amaran Nusantara berisiko menjadi ‘projek gajah putih’ jika momentum pembangunan terus perlahan. – AFP