KUCHING: Keputusan yang dibuat oleh Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk bekerjasama dengan “lawan politik” Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun lepas, benar-benar mengejutkan kebanyakan rakyat Sarawak.
Malah beberapa pemimpin GPS amat meraguinya.
Bagaimanapun, setelah setahun memerintah, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri dan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kedua-dua pakatan yang tidak sehaluan sebelum ini kini mampu bekerjasama untuk kepentingan rakyat termasuk rakyat Sarawak.
“Saya rasa Anwar sangat komited dalam usaha memenuhi aspirasi dan keperluan rakyat Sarawak,” kata Felow Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir kepada Bernama.
Beliau menyenaraikan beberapa keputusan besar yang dibuat Anwar dalam tempoh setahun menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia untuk ‘menawan’ rakyat Sarawak.
“Contoh yang baik saya rasa ialah memberi RM300 juta geran interim khas untuk Sarawak (bagi mematuhi Perjanjian Malaysia 1963), yang saya fikir telah disemak hampir 19 kali (oleh kerajaan pimpinan Anwar),” katanya.
Jeniri berkata, keputusan membenarkan kerajaan Sarawak dan Sabah melaksanakan projek persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah adalah sebagai langkah ikhlas untuk mempercepatkan penyiapan projek itu.
“Anwar menyedari kepentingan Sabah dan Sarawak dalam Kerajaan Perpaduan dan kepentingan untuk merancakkan pembangunan Sabah dan Sarawak. Sudah pasti ini akan mengurangkan segala kerenah birokrasi,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri yang kerap mengadakan lawatan ke Sarawak dalam tempoh setahun lepas, mencerminkan kesungguhan Anwar untuk memahami aspirasi dan masalah rakyat.
Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, keputusan Anwar untuk melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sarawak adalah suatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“TPM (Timbalan Perdana Menteri) dari Sarawak bermakna manfaat dan pembaharuan pendekatan dari kaca mata Sarawak akan lebih dekat, difahami dan lebih langsung kepada pentadbiran PM tidak seperti dahulu tanpa jawatan TPM dari Sarawak,” katanya.
Awang Azman berkata, keterbukaan Anwar untuk “mendengar dan memenuhi” permintaan rakyat Sarawak dan Sabah dalam surat dan petisyen mereka kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah semasa lawatan Seri Paduka ke kedua-dua negeri itu, juga terbukti apabila setiap surat dan petisyen telah ditangani dengan sewajarnya.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga telah menunjukkan keyakinan penuh terhadap Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari dan Sabah di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Nor dengan membenarkan kedua-dua negeri itu melaksanakan projek persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah.
“Ini tidak pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran terdahulu. Kepercayaan ini jelas bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat tanpa perlu kata putus peringkat Persekutuan,” katanya.
Mengenai Perjanjian Malaysia 1963, beliau berkata pendirian Anwar adalah jelas dan tegas apabila menyatakan perkara dalam perjanjian itu bukan untuk dirundingkan tetapi perlu dilaksanakan.
“Anwar membawa era baharu hubungan dengan Sarawak selepas terbentuk Kerajaan Perpaduan. Komitmen Sarawak diberikan pengiktirafan tinggi bagi memastikan pembangunan negeri Sarawak lebih berimpak tinggi dan berganda,” katanya. – Bernama