PETALING JAYA: Open University Malaysia (OUM) sentiasa memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk memohon dan menyambung pengajian di universiti itu tanpa mengira latar belakang termasuk banduan.
Naib Canselornya Prof Dr Ahmad Izanee Awang berkata, OUM menerima sesiapa sahaja asalkan individu terbabit memiliki kesungguhan dalam menimba ilmu ke tahap yang lebih tinggi selain bertekad untuk berubah menjadi insan lebih baik.
“Moto OUM ialah Universiti Digital untuk Semua. Semua ini tidak kiralah apa latar belakang pelajar, di mana mereka berada, apakah pekerjaan mereka, asalkan ingin menuntut ilmu dan mahu berjaya kami akan menerima mereka sebagai pelajar termasuklah penghuni penjara.
“Pada masa ini, kelayakan akademik juga amat penting dalam menentukan kerjaya masing-masing. Dengan berbekalkan kelayakan akademik, peluang untuk mendapatkan kerjaya yang lebih baik akan menjadi lebih cerah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata pihaknya amat berbesar hati dalam membantu dan memberi peluang serta akses pendidikan kepada golongan banduan yang ingin menyambung pelajaran mereka di universiti berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Izanee berkata, keterbukaan OUM untuk menerima banduan sebagai penuntut universiti itu bukan sahaja memberi manfaat dan harapan baharu kepada banduan tetapi turut memberi imej baik kepada Jabatan Penjara Malaysia sebagai institusi kerajaan prihatin.
Beliau berkata ia juga selari dengan tema sambutan Hari Penjara pada tahun ini iaitu “Reformasi Ke Arah Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan”.
“Kemahiran dan pendidikan juga mampu mengurangkan stigma masyarakat terhadap banduan seterusnya memberi peluang kedua kepada mereka untuk diterima semula dalam komuniti apabila dibebaskan kelak,” katanya.
Mengenai peluang kerjaya kepada banduan yang mengikuti pengajian di universiti berkenaan, Ahmad Izanee berkata pihak universiti sememangnya ingin memainkan peranan dalam usaha memberikan peluang kedua kepada golongan itu terutama dalam kalangan alumni sendiri.
“Untuk merealisasikan hasrat ini, banyak faktor dan ketetapan perlu dipatuhi dan jika segala faktor dan ketetapan dapat dipenuhi, kami berharap ia akan menjadi kenyataan. Jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan, OUM akan menilai permohonan mereka sama seperti calon pekerja yang lain,” katanya.
Selain itu, beliau turut menjelaskan OUM bukan satu-satunya universiti yang menawarkan pengajian kepada banduan kerana terdapat beberapa institut pengajian tinggi lain turut berbuat demikian, namun OUM adalah pelopor.
“Kebanyakan banduan memilih OUM sebagai universiti pilihan, mungkin kerana kaedah pembelajaran secara dalam talian yang lebih fleksibel dan sesuai dengan keadaan mereka yang terikat dengan peraturan penjara,” katanya. – Bernama