LAWAS: Operasi sesi persekolahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas telah ditangguh sementara untuk memberi laluan kepada pihak bomba melakukan operasi pemadaman bara api dan siasatan forensik kebakaran melibatkan bangunan pentadbiran awal tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Azman Ibrahim memaklumkan bahawa pihaknya terpaksa menggunakan Seksyen 46 dan 47 Akta Bomba untuk membolehkan kawasan sekolah diambilalih oleh bomba untuk kerja pemadaman bara dan operasi siasatan.
Selain itu, kawasan sekolah terpaksa ditutup atas faktor keselamatan dimana terdapat banyak bahan merbahaya seperti cebisan kaca, paku dan asap yang menyelubungi kawasan kebakaran.
Pelajar yang berhimpun di padan gelanggang sukan pada awal pagi telah diarah balik pada 8.15 pagi atas faktor keselamatan.
“Kita dapati kawasan kebakaran adalah ditengah laluan menuju ke kelas dan bangunan lain berhampiran yang tidak selamat.
“Atas faktor keselamatan pelajar dan anggota bertugas, pihak kami telah menggunakan Akta Bomba untuk menutup kawasan kebakaran sehingga disahkan selamat oleh pasukan penyiasat,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Sehubungan itu, sesi persekolahan akan ditutup sehingga mendapat kebenaran pihak bomba Lawas.
Sementara itu, Pengetua SMK Lawas Tuah Adis, telah mengarahkan semua pelajar berkumpul dikawasan selamat bersama para guru sehingga mendapat arahan pihak bomba untuk menutup kawasan sekolah pada hari ini.
“Kita merasa amat sedih atas kejadian dan kita juga amat bimbang kerana insiden kebakaran ini sedikit sebanyak menganggu momentum pelajar Tingatan 5 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penghujung tahun ini,” katanya.
Pihak Pejabat Pendidikan Daerah turut memantau situasi dan akur dengan arahan bomba atas faktor keselamatan semua pihak.
Oleh Adeng Edrus