
PETRA JAYA: Satu sesi perbincangan strategik pembangunan usahawan dan ekonomi bagi Bahagian Sri Aman telah diadakan di Wisma Sumber Alam, dekat sini semalam.
Sesi perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Dzulkornain Masron.
Sesi ini turut disertai oleh Pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA), Dato Sri Rohani Abdul Karim; Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; wakil daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Majlis Daerah Sri Aman serta Sekretariat SADA.
Antara fokus utama perbincangan adalah cadangan projek daripada SADA untuk dipertimbangkan dalam pelan pembangunan di bawah MINTRED. Inisiatif ini dilihat penting bagi memastikan projek pembangunan yang dirancang selaras dengan aspirasi negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, cadangan penempatan usahawan tempatan turut dibincangkan sebagai langkah menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Penempatan yang lebih strategik diyakini mampu meningkatkan daya saing usahawan tempatan, sekali gus membuka ruang pasaran lebih luas di Sri Aman dan kawasan sekitarnya.
Sesi itu juga menekankan keperluan mengkaji peluang ekonomi baharu yang berpotensi diteroka di Bahagian Sri Aman. Langkah ini penting bagi memastikan sumber dan kelebihan tempatan dapat dimaksimumkan dalam menjana pertumbuhan ekonomi berterusan.
Melalui sesi strategik ini, pelbagai pihak menyatakan keyakinan bahawa kolaborasi erat antara kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta komuniti usahawan akan membawa hasil yang positif.
Usaha ini bukan sahaja mampu mengembangkan sektor keusahawanan, malah dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Dengan kerjasama bersepadu ini, Bahagian Sri Aman dijangka muncul sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi luar bandar yang berdaya maju, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan inklusif di negeri Sarawak.
Oleh Adi Safarman