SESI latihan skuad hoki wanita Sukma Sarawak yang sebelum ini dijadual bermula Sabtu ini (1 Ogos) ditangguh buat sementara waktu.
Penangguhan untuk latihan dilakukan ekoran Bandaraya Kuching yang diistihar sebagai ‘zon merah’ selepas berlaku peningkatan ketara jangkitan virus Covid-19.
Perkara tersebut diakui Presiden Persatuan Hoki Sarawak (HSA), Datin Mary Sadiah Zainuddin semalam.
“Kita terpaksa menangguh dahulu latihan untuk pasukan Sukma kerana mengambil kira situasi persekitaran yang masih belum selamat.
“Tambahan pula, rata-rata ibu bapa pemain enggan membenarkan anak mereka menyertai kem latihan tersebut,” ujar Datin Mary ketika mengulas mengenai perkara itu.
Sambil mengakui pihak badan induk amat memahami permasalahan yang timbul, Datin Mary pada masa sama berharap jelmaan kembali musibah yang menimbulkan ketakutan umum itu akan berakhir.
Sekali gus, membolehkan sesi latihan untuk persiapan pemain menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 dapat dijalankan.
“Pihak kita akan memaklumkan tarikh baharu untuk sesi latihan sebaik keadaan benar-benar selamat nanti,” tambah beliau lagi.
Himpunan pemain yang terlibat dengan latihan kelak mencakupi dari pelbagai kawasan seluruh negeri ini.
Oleh Faizal Bujang