BAYANGKAN jika setiap keluarga kecil atau besar, melibatkan diri beramai-ramai dalam aktiviti sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia di peringkat komuniti masing-masing? Meriahkan?
Pertandingan seperti Fun Run, menghias rumah atau mengadakan jamuan makan atau BBQ bersama rakan dan keluarga pada malam Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia atau menyertai trend terkini pertandingan TikTok, sudah pastinya dapat melibatkan ramai ahli keluarga tanpa perlu mereka bertandang jauh untuk menyaksikan sambutan di peringkat negeri dan negara.
Ini antara dapatan tinjauan Utusan Sarawak tentang pandangan umum mengenai aktiviti sambutan ketika rakyat bersedia menyambut Hari Kebangsaan bulan depan, disusuli Hari Malaysia September nanti.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Syed Hamzah Datuk Wan Hamid Edruce, bersetuju jika sambutan Hari Kebangsaa dan Hari Malaysia tahun ini diperluas sehingga ke peringkat akar umbi melibatkan semua bangsa, agama dan peringkat umur.
“Semangat patriotik perlu kembali dipupuk dalam hati masyarakat kita. Tidak semestinya melalui acara sambutan yang melibatkan perbarisan dan persembahan pentas, tetapi pelbagai acara yang boleh melibatkan penyertaan orang ramai.
“Antara yang boleh diadakan adalah acara Fun Run atau Fun Ride. Saya percaya ramai yang boleh ikut serta dalam program seperti ini,” katanya yang juga seorang usahawan.
Menurutnya, sambutan Hari Malaysia perlu disambut meriah oleh semua rakyat kerana ia adalah permulaan wujudnya sebuah negara bernama Malaysia.
“Kita perlu menghargai negara kita yang sudah sekian lama dalam keadaan aman dan makmur. Banggalah kita sebagai rakyat Malaysia. Isu percanggahan 31 Ogos bukan tarikh Sarawak merdeka sepatutnya tidak perlu diberatkan lagi.
“Ada antara rakyat di negeri ini tidak terlalu teruja dengan tarikh 31 Ogos tetapi sebenarnya sejarah tercatat bahawa kerajaan British bersetuju agar Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk sebuah negara Malaysia bersama Tanah Melayu dan Malaysia akan ditubuhkan pada 31 Ogos, 1963.
“Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan dan Lawrence Michelmore selaku wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjauan pandangan penduduk Sabah dan Sarawak.
“Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoriti penduduk negeri ini menyokong penyertaaan dalam Persekutuan Tanah Melayu.
“Justeru, pada 16 September 1963, gagasan itu menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah persekutuan yang dikenali sebagai Malaysia.
“Sejarah inilah yang ramai tidak tahu. Saya berharap lebih ramai rakyat kita tahu mengenai fakta ini terutama rakyat Sarawak agar mereka juga turut menghargai tarikh 31 Ogos yang kini kita namakan Hari Kebangsaan manakala 16 September pula dikenali dengan Hari Malaysia,” katanya.
Syed Hamzah berkata, mengibarkan bendera itu satu simbol semangat patriotik sebagai rakyat Malaysia.
“Bagi saya ini perlu diperkasakan Kembali dan kempen perlu dibuat dengan lebih berkesan kerana kini kita sendiri dapat lihat semakin kurang rakyat mengibarkan bendera baik di hadapan rumah, atau pada kenderaan masing-masing.
“Saya percaya jika kita dapat pupuk semangat patriotisme mereka, pasti lebih ramai akan memasang bendera dengan rela hati. Semangat ini amat penting untuk semua rakyat Malaysia kerana semangat inilah yang akan mempertahankan negara kita daripada jajahan.
“Aspek memahami dan menghayati perjuangan mendapatkan kemerdekaan itu juga penting, dan mungkin jabatan-jabatan berkaitan boleh membuat semula program wayang pacak yang pernah diadakan suatu ketika dahulu agar rakyat boleh bersama-sama menonton filem berkisarkan sejarah perjuangan mendapatkan kemerdekaan dan bersama menghayati sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kali ini,” katanya.
Syed Hamzah berkata tema tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, secara peribadi sebenarnya sangat dekat di hati rakyat Sarawak.
“Sambutan ‘merdeka’ kita tahun ini juga saya lihat mempunyai makna tersendiri kerana buat pertama kali selepas dua tahun, akhirnya kita sudah merdeka daripada pelbagai prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan Covid-19.
“Pandemik Covid-19 sejujurnya telah menampakkan perpaduan, rasa kasih sayang sesama kita yang sangat kukuh.
“Contohnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, kita dapat lihat bagaimana rakyat yang lebih berkemampuan menghulurkan bantuan makanan kepada mereka yang terjejas akibat tidak boleh keluar bekerja. Kita juga dapat melihat rakyat bersama-sama menghantar derma ke Masjid An- Nur Sibu untuk diagihkan kepada semua penduduk yang terjejas tanpa mengira kaum dan agama.
“Keluarga Malaysia, Teguh Bersama, ya, semangat inilah yang rakyat Sibu tunjukkan semasa ada antara kita dilanda kesusahan akibat pandemik dahulu. Saya bangga dan terharu apabila mengenangkan pelbagai cabaran dan kisah hero-hero tak didendang sepanjang pandemik Covid-19,” katanya.
Selain penganjuran aktiviti di luar rumah, Syed Hamzah melihat sudah ada keluarga yang mengamalkan mengadakan jamuan makan bersama keluarga dan rakan pada malam Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Bagi saya ini satu perkara yang baik, gunakan cuti umum untuk merapatkan hubungan sesama keluarga.
“Saya juga berharap akan ada jabatan atau syarikat swasta mengadakan pertandingan Hari Malaysia melalui video kreatif di media sosial.
“Trend terbaharu adalah pertandingan di TikTok, pertandingan ini lebih mudah kerana peserta boleh melakukannya dari rumah tanpa perlu pergi ke mana-mana lokasi spesifik seperti pertandingan lain.
“Pertandingan video kreatif adalah cara baharu kita dapat menggalakkan orang ramai membuat kandunhan kreatif bersama-sama. Saya tahu dalam proses merakam isi TikTok yang kreatif, pastinya akan disulami dengan gelak ketawa dan saat-saat lucu.
“Situasi seperti inilah yang bakal diingati mereka, menang kalah adat pertandingan, tetapi apa yang lebih penting adalah semangat peserta untuk turut serta dalam pertandingan itu yang perlu kita galakkan, “katanya.
Penjawat Awam, Kong Fui Lin berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia melibatkan penyertaan rakyat merentasi pelbagai latar belakang bangsa, kaum dan agama dan oleh itu cadangan sambutan di kampung-kampung amat disambut baik.
Pelbagai pihak seperti wakil rakyat dan ketua masyarakat perlu terlibat sama kerana ia amat penting supaya semua golongan masyarakat dapat mengetahui erti sebenar kemerdekaan serta dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.
“Menyambut Hari Kebangsaan amat penting untuk mengenang jasa dan pengorbanan wira-wira negara serta mendidik generasi muda akan erti sebenar kemerdekaan.
“Perjuangan memerdekakan negara boleh disebarkan lagi melalui media sosial seperti Facebook, TikTok serta tayangan wayang,” katanya.
Beliau berkata, sambutan tahun ini berdasarkan konsep merakyatkan komuniti adalah usaha yang baik dan semua lapisan masyarakat turut dapat merasai suasana sambutan Hari Kebangsaan nanti.
“Penduduk kampung yang terdiri daripada warga emas boleh turut mengimbas kembali zaman kemerdekaan dan seterusnya berkongsi dengan komuniti serta anak-anak muda pada acara jamuan dan perjumpaan Bersama keluarga,” katanya
Tidak ketinggalan, pejawat awam, Panti Janting berkata, sambutan melibatkan penyertaan rakyat di peringkat keluarga dan kampung-kampung amat perlu supaya setiap lapisan masyarakat menghayati erti kemerdekaan.
“Rakyat harus tahu tujuan perjuangan kemerdekaan barulah tersemai rasa cintakan negara dalam hati kita,” katanya.