SYAZWANI Aqmar Abdullah sedang mengupas kulit halia yang akan diproses menjadi serunding halia ‘pusuk mata biru’.
SERUNDING halia merupakan sejenis makanan ringkas yang tidak asing lagi dalam masyarakat Melayu terutamanya dalam kalangan ibu bersalin.
Di samping khasiatnya yang baik untuk kesihatan iaitu melancarkan darah dan mengeluarkan angin di dalam badan, ia juga enak dimakan bersama nasi panas ataupun sebagai kudapan.
Justeru, Syazwani Aqmar Abdullah atau lebih mesra dipanggil Wani, 23, tidak melepaskan peluang mengusahakan perniagaan ‘serunding halia pusuk mata biru’ bagi menambah pendapatan.
Menurut pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Samarahan itu, serunding beliau mempunyai keistimewaan sendiri dari segi rasa dan bahan yang digunakan.
Banyak pelanggan memberi maklum balas positif dengan memuji keenakan serunding beliau yang berbeza dengan serunding lain di pasaran.
“Keunikan serunding ini, saya menggunakan ikan bilis berkualiti iaitu ikan bilis mata biru dan ikan bilis gred AA.
“Rasa serunding halia saya pula sedikit berlainan daripada yang lain kerana kepedasan dan kehangatan yang mana ketika dimakan seperti makan halia segar dan ia seimbang dengan rasa masin dari ikan bilis itu sendiri,” katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak baru-baru ini.
Menurutnya lagi, kerangupan halia serta rasa pedas dan hangat dari halia tersebut bahkan boleh bertahan selama satu hingga bulan jika disimpan di dalam bekas kedap udara dan pada suhu bilik.
“Harga satu bekas serunding halia ialah RM6 manakala untuk pembelian 500 gram ialah RM60 sahaja.
Para pelanggan boleh memilih untuk membeli secara banyak atau sedikit mengikut cita rasa dan kebanyakan pelanggan tetap saya mereka selalu membeli sebanyak rm20, rm50 untuk di jadikan stok di rumah mereka,” tambahnya.
Motivasi dan cabaran
Berkongsi mengenai motivasi, Wani memberitahu dorongan dan permintaan daripada keluarga menyebabkan belia memutuskan untuk menjual serunding halia melalui WhatsApp dan promosi sekitar kampung meskipun masih bergelar sebagai pelajar.
“Sebenarnya saya mula berniaga serunding halia ini atas dasar mengisi masa lapang dan ingin mencuba resipi baharu.
“Saya cuba membuat serunding ini kerana teringin makan dan ibu saya memberitahu bahawa serunding ini boleh dijual kerana rasanya yang sedap dan tidak sama dengan yang ada di pasaran.
“Meskipun baru buat pertama kali, saya tidak menyangka jualan ‘serunding halia pusuk mata biru habis’ dalam masa 20 minit sahaja dengan modal permulaan kira-kira RM100 pada awal Februari 2020 lalu,” jelasnya.
Lantaran itu katanya, beliau meneruskan perniagaan ini secara meluas di sekitar kuching dan samarahan kerana mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelanggan.
“Kata-kata semangat untuk saya memotivasikan diri, saya mahu menjual produk yg memberi manfaat dan kebaikan kepada pembeli.
“Jika saya berhenti menjual, saya akan mengecewakan mereka tetapi saya tidak mahu berbuat demikian. Saya berharap produk saya yang sekarang dapat dikenali di seluruh malaysia pada masa akan datang dan dapat membanggakan ibu saya atas kejayaan yang saya usahakan ini,” tegasnya.
Bercerita tentang cabaran pula, Wani menyatakan bahawa pembahagian masa merupakan cabaran utama memandangkan beliau merupakan pelajar sepenuh masa.
“Proses untuk menyiapkan serunding halia mengambil masa yang lama. Jadi saya kena bijak membahagikan masa untuk memenuhi setiap tempahan pelanggan.
“Bukan itu sahaja, saya juga menghadapi masalah dengan pembekal kerana kadang-kadang mereka tidak dapat menyediakan bahan mengikut kuantiti yang saya inginkan kerana terdapat masalah dari pihak mereka.
“Pesanan saya kepada peniaga baharu, jangan pernah berputus asa kerana dalam perniagaan kita akan sentiasa di uji dan setiap orang telah ditetapkan rezeki masing-masing hanya cepat atau lambat sahaja,” katanya lagi.
Oleh SYAHIDA HASSAN