NUN jauh di pedalaman Sarawak, wujud komuniti yang berasimilasi dengan alam semulajadi sejak turun-temurun.
Mereka hidup tenang dan harmoni memanfaatkan anugerah Tuhan untuk menjalani kehidupan seharian. Sungguhpun begitu, mereka tidak ketinggalan menikmati arus pembangunan.
Walaupun sesetengah kawasan dapat dihubungkan melalui jalan raya atau jalan air, keluasan dan cabaran geografi Sarawak menjadikan akses ke kawasan terpencil masih sukar.
Namun, hal ini dapat diatasi dengan ada pengangkutan udara yang diusahakan bagi memastikan komuniti ini mendapat akses kepada perkhidmatan dan kemudahan penting seperti rawatan perubatan, pendidikan dan bekalan makanan.
“Lapangan terbang dengan pelepasan dan pendaratan pendek” atau STOLport yang mempunyai panjang landasan antara 400 hingga 1,000 meter menjadi penyelesaian penting dalam memastikan perhubungan udara ke kawasan pedalaman ini.
Tidak banyak pesawat komersial sesuai digunakan disebabkan kekangan panjang landasan ini tetapi ada sejenis pesawat yang agak menonjol dan dipercayai dapat memenuhi keperluan tersebut dengan baik, iaitu DHC-6 Twin Otter siri 400.
Pesawat ini digunakan oleh MASwings sejak 2013 lagi dan mungkin diteruskan penggunaannya selepas diambil alih kerajaan Sarawak kelak.
Buat masa ini, MASwings mempunyai enam pesawat jenis ini untuk digunakan bagi tujuan perkhidmatan penumpang dan kargo di kawasan pedalaman.
DHC-6 Twin Otter siri 400 merupakan model lanjutan daripada siri Twin Otter yang dibangunkan oleh de Havilland Canada pada 1960-an.
Penerbangan sulung pesawat ini dilakukan pada 20 Mei 1965 dengan pelancarannya pada 1966 sebagai pengganti kepada DHC-3 Otter.
Dengan reka bentuk yang tahan lasak dan kemampuan berlepas dan mendarat dalam jarak yang pendek, membolehkan ia digunakan di kawasan pedalaman seperti Bario, Long Seridan, Ba’kelalan dan Long Akah.
Dari segi spesifikasi, DHC-6 Twin Otter siri 400 ialah sejenis pesawat turboprop yang dikuasakan oleh dua enjin Pratt & Whitney PT6A-34. Enjin turboprop dipasang di kedua-dua belah sayap dapat memberikan daya dorong tinggi yang menjadikan pesawat ini sesuai beroperasi dalam persekitaran mencabar dan cuaca yang tidak menentu.
Pesawat ini juga dilengkapi dengan sistem avionik Honeywell Primus Apex yang canggih bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan semasa penerbangan terutama bagi mengelakkan kawasan yang terdedah kepada cuaca buruk atau kawasan bergunung-ganang yang sukar dilalui.
Selain itu, pesawat ini berkemampuan untuk terbang sehingga 1,427km namun jarak antara Lapangan Terbang Miri yang menjadi pusat operasi MASwings ke STOLport seperti Lawas, Long Banga, Long Lellang dan Marudi ini hanya sekitar 300km yang menjadikannya ideal untuk penerbangan dalam Sarawak dengan tempoh perjalanan lebih kurang 45 minit.
Panjang pesawat ini hanya dalam 15 meter tetapi dapat memuatkan seramai 21 orang termasuk dua juruterbang.
Dengan susunan kerusi yang agak rapat dan sempit namun tetap selesa jika dibandingkan dengan perjalanan melalui arus sungai yang deras dan mencabar.
Penumpang yang menaiki pesawat ini akan merasai pengalaman unik.
Disebabkan oleh saiz pesawat ini yang terhad, penumpang mungkin akan diminta untuk menimbang berat badan selain bagasi yang dibawa.
Bagi mereka yang mempunyai berat badan yang besar, mereka mungkin disarankan untuk duduk di tengah pesawat berhampiran dengan enjin kapal terbang.
Bagi pesawat jenis sayap tinggi seperti DHC-6 Twin Otter, pusat graviti umumnya berada di kawasan bawah sayap dan sedikit ke hadapan atau ke belakang bergantung kepada muatan penumpang dan kargo.
Pusat graviti ini adalah titik di mana berat keseluruhan pesawat seimbang dan ia penting untuk kestabilan semasa penerbangan.
Posisi pusat graviti boleh berubah berdasarkan pengagihan berat penumpang, kargo dan bahan api.
Pengeluar pesawat menentukan julat pusat graviti selamat untuk memastikan pesawat berfungsi dengan baik dalam pelbagai keadaan penerbangan.
Sekiranya pusat graviti berada terlalu ke depan atau belakang di luar julat yang dibenarkan, pesawat mungkin menghadapi kesukaran dalam kawalan semasa berlepas, terbang dan mendarat.
Selain itu, penumpang tidak akan mendapat layanan daripada pramugara atau pramugari disebabkan ruang kabin yang sempit namun hal ini digantikan dengan peluang melihat sendiri bagaimana juruterbang mengendalikan pesawat ini semasa di udara.
Penumpang juga disarankan untuk menggunakan penyumbat telinga jika inginkan keselesaan kerana bunyi enjin yang kuat semasa perlepasan kerana enjin berada dekat di sebelah luar badan pesawat.
Pesawat ini biasanya terbang dalam lingkungan ketinggian 5,000 meter membolehkan penumpang melihat pemandangan luar dengan lebih jelas dan menikmati keindahan landskap Sarawak yang memukau.
Ketinggian ini memberikan pengalaman penerbangan yang unik kerana penumpang dapat menyaksikan panorama hutan hujan tropika yang tebal, sungai berliku-liku dan bukit-bukit yang menghijau dari jarak dekat dengan lebih santai.
Pengalaman ini pastinya berbeza dengan pesawat komersial yang terbang pada ketinggian lebih tinggi yang sering dilitupi oleh awan.
DHC-6 Twin Otter, pesawat kecil tetapi lasak yang direka khusus untuk beroperasi di landasan pendek dan permukaan tidak rata, menjadikannya ideal bagi penerbangan ke kawasan terpencil yang tidak dilengkapi infrastruktur lapangan terbang moden.
Dengan ada perkhidmatan udara ini, komuniti di pedalaman akan terus dapat manfaat arus pembangunan yang dinikmati di bandar-bandar besar di Sarawak.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.