
TOKYO: Zoo di barat Tokyo terpaksa ditutup hampir sepanjang hari selepas seekor serigala terlepas dari kandangnya, namun pengendali kemudahan itu mengesahkan haiwan berkenaan berjaya ditangkap semula di dalam kawasan zoo pada hari sama, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menurut Taman Zoologi Tama di Hino, serigala itu dilihat berada di laluan awam selepas zoo berkenaan dibuka kepada pengunjung pada 9.30 pagi waktu tempatan.
Serigala itu berjaya ditangkap semula kira-kira 2.20 petang selepas dikesan berada di kawasan semak.
Pelawat terpaksa melarikan diri ke dalam bangunan dan kawasan lain, namun setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.
Pihak zoo pada awalnya menghentikan kemasukan pelawat atas faktor keselamatan, sebelum mengumumkan bahawa zoo itu tidak akan dibuka semula pada hari berkenaan.
Taman Zoologi Tama, yang dibuka pada 1958 menempatkan kira-kira 260 spesies haiwan dari dalam dan luar Jepun, menurut laman sesawang rasminya.
-Bernama