KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak masih membimbangkan apabila dua kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat 4.00 petang hari ini.
IPD Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 217, diikuti Lubok Antu dengan 205, sekali gus meletakkan kedua-dua kawasan dalam kategori sangat tidak sihat.
Sebanyak 11 kawasan lain pula berada pada tahap tidak sihat, membabitkan Sri Aman dengan bacaan 186, Kuching (181), Sarikei (173), Samarahan (170), Lundu (167), Tebedu (166), Sibu dan Samalaju masing-masing (156), Bintulu (153), Mukah (125) serta Kapit (108).
Sementara itu, lima kawasan masih mencatat kualiti udara sederhana iaitu Miri (78), ILP Miri (77), Lawas dan Bario masing-masing (71), serta Limbang (63).
Berdasarkan kategori IPU, bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat.
Keadaan pada tahap sangat tidak sihat boleh memburukkan kesihatan dan mengurangkan toleransi terhadap aktiviti fizikal khususnya bagi individu yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru, selain memberi kesan terhadap kesihatan awam.




