Serian kekal catat IPU tertinggi, Kuching kini tidak sihat

Facebook
WhatsApp
SERIAN kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi di Sarawak dengan 152 setakat 12.00 tengah hari, hari ini.

KUCHING, 7 Oktober: Serian terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak dengan 152, sementara Kuching turut berada pada tahap tidak sihat setakat 12.00 tengah hari ini.

Data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) menunjukkan empat kawasan berada dalam kategori tidak sihat, dengan Tebedu mencatat IPU 137, Betong 123 dan Kuching 104 selain Serian.

Dalam pada itu, Sri Aman dan Lubok Antu menghampiri paras 100 apabila masing-masing merekodkan IPU 96 dan 95, namun masih dikategorikan sebagai sederhana.

Samarahan mencatat bacaan 87, disusuli Lundu 83 dan Sarikei 82, manakala Bintulu serta Belaga masing-masing berada pada 81.

Bacaan sederhana turut dicatatkan di Samalaju dengan 77, Mukah dan Kanowit masing-masing 75, Miri 73 serta ILP Miri dan Lawas masing-masing 71.

Sibu pula mencatat IPU 69, Kapit dan Bario masing-masing 67, sementara Limbang merekodkan bacaan 66.

Secara keseluruhan, kesemua 21 stesen yang dipaparkan NREB mencatatkan kualiti udara antara tahap sederhana dan tidak sihat, tanpa mana-mana kawasan berada dalam kategori baik.

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 51 hingga 100 adalah sederhana.

IPU berkenaan dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.