INSIDEN persembahan dibatal pada saat akhir dalam satu majlis baru-baru ini menjadi pengalaman pahit bagi kumpulan Seri Tandi.
Imbas kembali insiden tersebut, Nurshamilya Amira Annuar Rigos lebih dikenali sebagai Leya Ameera, 31, menjelaskan Seri Tandi sepatutnya menjadi penari pengiring untuk persembahan nyanyian daripada penyanyi tempatan, Knowno, pada majlis itu namun pihak pengurusan membatalkan persembahan mereka tanpa sebab munasabah.
Terkilan dengan pembatalan tersebut, Leya meluahkan perasan menerusi video pendek dimuatnaik menerusi Facebook miliknya pada hari kejadian. Setelah video tersebut tular, akhirnya pihak pengurusan membayar ganti rugi terhadap Seri Tandi.
Menjelas lanjut semasa ditemui, Leya selaku pengasas Seri Tandi memberitahu mereka akan lebih berhati-hati dalam apa jua tindakan yang dilakukan selepas ini supaya tidak mencemarkan nama dan maruah.
“Kami cuba untuk tidak meletakkan harapan yang tinggi pada mana-mana tawaran yang diberi selepas ini. Pada masa sama, kami kekal menjadi diri sendiri dan tetap kuat dalam memperjuangkan seni tari,” jelas Leya.
Ditanya mengenai penubuhan Seri Tandi, Leya berkata, nama Seri Tandi datangnya daripada perkataan ‘SriKandi’ (pahlawan wanita), cuma dibezakan dengan ejaan dan maknanya tersendiri. ‘Seri’ melambangkan wanita yang sentiasa berseri. ‘Tandi’ mengambil makna daripada perkataan Tandak/Tari.
“Seri Tandi ditubuhkan selepas saya berhijab dan nekad mencari cara bagaimana untuk terus aktif dalam dunia tari berimejkan wanita bertutup dan sopan.
“Idea penubuhan Seri Tandi tercetus, setelah saya dilantik sebagai Ketua Sayap Srikandi dalam Pertubuhan PSMA Spring 12 Warisan Wa Bojeng.”
Leya menambah, dia dan sahabat yang lain mula mempelajari gerak dan bunga silat daripada Guru Utama, Hazemi Bojeng pada 2022.
“Kami diajar setiap langkah silat Pertubuhan PSMA Spring 12 dengan teliti sama seperti pesilat yang lain. Beberapa guru muda turut menjadi penasihat kami dari segi gerakan silat yang boleh dialun menjadi tarian.
“Guru utama mengingatkan kami bahawa gerakan silat itu sebenarnya bebas kerana ia terhasil sebagai gerak mempertahankan diri dan daripada situ kami mengolah segala rentak tari mengikut kebebasan kami sendiri tanpa terikat dengan sebarang gerak asas,” kata Leya.
Jelas Leya, Seri Tandi mempunyai misi dan visi setelah ditubuhkan iaitu untuk membuka mata masyarakat bahawa wanita berhijab juga boleh menjadi penari kebudayaan dan silat bukan hanya khas kepada wanita Melayu.
“Ia menunjukkan ketangkasan dalam kelembutan seorang wanita menerusi tarian dan menarik minat masyarakat khususnya wanita terhadap seni mempertahankan diri sekali gus mewujudkan tahap keistimewaan tersendiri bagi silat tari untuk dipersembahkan,” katanya.
Mengenai perancangan seterusnya, menurut Leya, Seri Tandi tidak mahu patah semangat dan akan bergerak aktif untuk terus bertahan dalam bidang seni.
“Kami akan mengambil seberapa banyak peluang untuk membuat persembahan di mana-mana majlis keramaian. Syukur Alhamdulillah..Seri Tandi bakal membuat kemunculan menerusi video lagu Knowno yang akan diberi nafas baharu pada masa terdekat.
“Saya berharap semoga Seri Tandi dikenali, disenangi dan diterima ramai dan menjadi sebuah kumpulan yang penuh dengan keikhlasan dan kasih sayang,” ujar Leya.
Oleh Yanti Sham