SERENA Williams meneruskan perburuannya untuk merebut gelaran juara Terbuka AS ketujuh dengan kemenangan straight set pada hari keempat ketika pilihan kedua Sofia Kenin juga melangkah ke pusingan ketiga di Flushing Meadows.
Williams, pilihan ketiga kejohanan, menyingkirkan pemain bukan pilihan dari Rusia, Margarita Gasparyan 6-2, 6-4 di bawah bumbung Stadium Arthur Ashe, New York yang hampir kosong pada malam New York.
Pemain berusia 38 tahun itu menamatkan set pertama dengan mudah sebelum sedikit goyah dalam set kedua ketika Gasparyan berjaya mematahkan servis beliau dua kali.
“Saya cukup senang melaluinya dan berusaha untuk fokus ke atas pusingan seterusnya,” kata Williams, yang akan menentang juara 2017, Sloane Stephens di peringkat 32 pemain terakhir.
Williams sedang mencari gelaran Grand Slam perseorangan ke-24 di Pusat Tenis Nasional Billie Jean King, AS yang tenang dan bebas penonton di New York.
Memenangi kejohanan minggu depan juga menyaksikan dia melepaskan pencapaian Chris Evert, dengan enam gelaran, sebagai juara Terbuka AS yang paling berjaya dalam permainan wanita dalam era moden.
Peluang Williams agak cerah dengan ketiadaan beberapa pemain utama dunia, termasuk Ashleigh Barty dan Simona Halep yang berada di kedudukan teratas, atas kebimbangan pandemik Covid-19 atau belenggu kecederaan.
Dia turut mendapat peluang lebih cerah pada hari Rabu ketika pilihan utama Karolina Pliskova tersingkir daripada kejohanan.
Pemain dari republik Czech itu dikejutkan oleh pemain nombor 50 dunia dari Perancis, Caroline Garcia.
Rakan senegara dari Amerika Syarikat, Kenin, meneruskan prestasi hebatnya tahun ini dengan kemenangan 6-4, 6-3 ke atas Leylah Fernandez dari Kanada untuk mara ke pusingan ketiga.
Penyandang juara Terbuka Australia, Kenin masih belum tewas sebarang set di Flushing Meadows ketika dia mengemukakan cabaran untuk gelaran Grand Slam keduanya tahun ini, dan sepanjang kariernya.
“Saya merasa seperti menemui alur. Saya benar-benar fokus ke atas setiap pukulan,” kata pemain kelahiran Moscow yang akan menentang pilihan ke-27, Ons Jabeur dari Tunisia dalam pusingan seterusnya. – AFP