
KUCHING: Dua operasi bersepadu oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak Kuching, iaitu Ops Gegar dan Ops Sapu, telah berjaya menahan 79 individu atas pelbagai kesalahan imigresen dalam serbuan mengejut yang dilaksanakan dari 22 hingga 23 Ogos lalu.
Operasi yang dijalankan bermula 11.00 malam hingga 2.00 pagi itu menyasarkan lima rumah sewa di sekitar Lorong Batu Kawa dan Matang, yang disyaki dijadikan pusat kegiatan judi dalam talian, serta sebuah premis hiburan malam di pusat bandar raya Kuching.
Dalam pemeriksaan ke atas 93 individu, seramai 79 orang telah ditahan terdiri daripada 73 lelaki warganegara Indonesia, seorang wanita warganegara Vietnam dan lima wanita warganegara Filipina.
Antara kesalahan yang dikenalpasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Tinggal tanpa dokumen sah), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Tinggal melebihi tempoh) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963
Menurut kenyataan JIM Sarawak, operasi ini adalah hasil aduan awam dan risikan dalaman oleh pegawai penguat kuasa, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyalahgunaan pas lawatan di negeri ini.
JIM Sarawak turut menzahirkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dan maklumat yang diberikan, serta menggesa masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat agar keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.