Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Serangga ranting kian sukar ditemukan, perubahan habitat antara faktor dibimbangi
  • RENCANA

Serangga ranting kian sukar ditemukan, perubahan habitat antara faktor dibimbangi

Utusan Sarawak 5 hours ago
SERANGGA ranting yang terkenal dengan keupayaan menyamar menyerupai ranting pokok dipercayai semakin sukar ditemukan pada habitat semula jadi, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan penurunan populasinya akibat perubahan habitat dan iklim. Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Serangga ranting yang terkenal dengan keupayaan menyamar menyerupai ranting pokok dipercayai semakin sukar ditemukan pada habitat semula jadi, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan penurunan populasinya akibat perubahan habitat dan iklim.

Ketua Jabatan Sains Praklinikal Veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Goh Soon Heng berkata walaupun tiada data saintifik yang menunjukkan spesies itu diancam kepupusan, terdapat petunjuk awal bahawa serangga berkenaan semakin jarang ditemukan berbanding dahulu.

“Secara data, tidak menunjukkan lagi bahawa serangga ranting diancam kepupusan. Namun, berdasarkan penceritaan dan pemerhatian penduduk tempatan, ada tanda-tanda spesies ini semakin sukar dijumpai berbanding sebelum ini.

“Bila semakin sukar ditemukan, itu boleh menjadi petunjuk awal bahawa populasinya mungkin sedang berkurangan, namun kita masih memerlukan lebih banyak data untuk mengesahkannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

SERANGGA ranting yang terkenal dengan keupayaan menyamar menyerupai ranting pokok dipercayai semakin sukar ditemukan pada habitat semula jadi, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan penurunan populasinya akibat perubahan habitat dan iklim. Foto BERNAMA

Beliau berkata perubahan ekosistem, peningkatan suhu persekitaran dan perubahan spesies tumbuhan dalam habitat semula jadi antara faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan hidup serangga berkenaan.

Dr Goh berkata perubahan pada tumbuhan bukan sahaja menjejaskan sumber makanan, malah mengurangkan keupayaan serangga ranting untuk menyamar dan bersembunyi daripada pemangsa.

“Apabila spesies pokok dalam sesuatu kawasan berubah, habitat dan tempat perlindungan semula jadi serangga ranting juga akan terjejas. Keadaan itu menyebabkan serangga itu lebih mudah dikesan dan dimakan oleh pemangsa seperti burung,” katanya.

Malaysia mempunyai lebih 100 spesies serangga ranting yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz, dengan sebahagiannya menyerupai ranting pokok, manakala ada yang mempunyai ciri seakan-akan serangga daun.

Beliau berkata keunikan utama serangga itu terletak pada bentuk badannya yang panjang, kurus dan menirus.

“Selain badan, kaki serangga ranting juga halus dan panjang, menjadikannya sukar dibezakan daripada ranting pokok ketika berada di habitat semula jadi,” katanya.

SERANGGA ranting yang terkenal dengan keupayaan menyamar menyerupai ranting pokok dipercayai semakin sukar ditemukan pada habitat semula jadi, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan penurunan populasinya akibat perubahan habitat dan iklim. Foto BERNAMA

Dr Goh berkata kebanyakan spesies serangga ranting hidup di kawasan kanopi pokok dengan lokasi habitat bergantung kepada saiz spesies masing-masing.

Spesies yang lebih besar lazimnya mendiami bahagian pokok yang lebih rendah, manakala spesies yang lebih kecil atau masih muda sering ditemukan pada bahagian lebih tinggi.

Beliau berkata serangga ranting tidak beracun atau berbisa, namun sesetengah spesies mempunyai duri pada badan yang digunakan sebagai mekanisme pertahanan diri.

Dari segi pembiakan, katanya, serangga ranting mengambil masa antara 10 hingga 15 bulan untuk melengkapkan satu kitaran hidup bermula daripada telur sehingga mencapai peringkat dewasa dan mampu membiak.

KETUA Jabatan Sains Praklinikal Veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Goh Soon Heng menunjukkan serangga ranting ketika ditemui Bernama di Fakulti Jabatan Pengajian Sains Praklinikal Veterinar, UMK, Pengkalan Chepa baru-baru ini. Serangga ranting yang terkenal dengan keupayaan menyamar menyerupai ranting pokok dipercayai semakin sukar ditemukan pada habitat semula jadi sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan penurunan populasinya akibat perubahan habitat dan iklim. Foto BERNAMA

“Telur biasanya mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk menetas sebelum anak serangga membesar menjadi dewasa dalam tempoh lapan hingga sembilan bulan,” katanya.

Mengulas peranan serangga itu dalam ekosistem, Dr Goh berkata serangga ranting membantu mengawal ketebalan dedaunan pada pelbagai lapisan pokok selain menjadi sumber makanan kepada pelbagai spesies haiwan lain.

Beliau berkata fungsi itu menjadikan serangga ranting antara komponen penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan.

Dalam pada itu, beliau berkata belum terdapat usaha konservasi berskala besar khusus bagi melindungi serangga ranting di negara ini.

Bagaimanapun, beberapa zoo di Malaysia menjalankan program pembiakan serangga ranting dan serangga daun pada skala kecil bagi tujuan pendidikan dan pendedahan kepada masyarakat.

KETUA Jabatan Sains Praklinikal Veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Goh Soon Heng melakukan pemeriksaan ke atas sarang kurungan serangga ranting ketika ditemui Bernama di Fakulti Jabatan Pengajian Sains Praklinikal Veterinar, UMK, Pengkalan Chepa baru-baru ini. Foto BERNAMA

Beliau turut melihat peningkatan minat masyarakat terhadap serangga ranting sebagai haiwan peliharaan eksotik, namun mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan spesies itu daripada sumber yang sah dan tidak menjejaskan populasi liar.

“Jika melibatkan spesies yang dilindungi, pemilik perlu memastikan mereka mempunyai lesen yang diperlukan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Beliau berharap lebih banyak kajian dapat dijalankan bagi memahami status sebenar populasi serangga ranting di negara ini serta menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti untuk jangka panjang.- Bernama

Continue Reading

Previous: Ungkapan “Aku Biasa Saja”

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.