KUALA LUMPUR, 10 November: Sasaran penjenayah siber kini melangkaui kegiatan mencuri data semata-mata, sebaliknya semakin tertumpu kepada usaha mengganggu kelangsungan kehidupan seharian rakyat menerusi serangan terhadap sistem fizikal dan teknologi operasi (OT).
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman itu, khususnya yang melibatkan sistem kawalan industri dalam sektor kesihatan, tenaga, bekalan air dan rantaian bekalan.
Mengambil contoh insiden di Eropah baru-baru ini, beliau berkata pencerobohan yang melumpuhkan operasi pasar raya serta sistem penyejukan bank darah membuktikan bahawa serangan siber era baharu sengaja dirancang untuk mencetuskan gangguan terhadap perkhidmatan asas masyarakat.
Megat Zuhairy berkata situasi itu semakin mencabar berikutan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan penjenayah melancarkan serangan secara automatik dan serentak terhadap pelbagai organisasi.
“Keupayaan ini telah meningkatkan skala, kelajuan serta intensiti serangan siber di seluruh dunia, dan Malaysia seperti negara lain tidak terkecuali daripada risiko menghadapi modus operandi yang sama,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sistem OT dalam sektor strategik berkenaan amat berisiko terdedah kepada serangan sekiranya disambungkan terus kepada Internet tanpa perlindungan sewajarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata NACSA menggesa entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) supaya mengasingkan sistem operasi kritikal daripada rangkaian luar, selain memastikan pelan kesinambungan perkhidmatan sentiasa dikemas kini.

“Tiada sistem yang kebal sepenuhnya daripada serangan, namun kesiapsiagaan dan keupayaan pemulihan yang pantas dapat mengurangkan impak sesuatu insiden kepada rakyat,” katanya.
Dari sudut perundangan, Megat Zuhairy berkata Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) mewajibkan entiti NCII mematuhi amalan keselamatan yang ketat bagi memastikan sistem dan perkhidmatan masing-masing berdaya tahan terhadap ancaman siber.
Bagi organisasi yang bukan entiti NCII pula, NACSA mengeluarkan Garis Panduan Kesiapsiagaan dan Pengendalian Ancaman Keselamatan Siber sebagai rujukan untuk meningkatkan kesiapsiagaan, pengesanan awal, tindak balas terhadap ancaman serta kesinambungan perkhidmatan.
Menyentuh keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menaikkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara (NCTL) daripada Rendah kepada Sederhana pada 4 November lepas, beliau berkata langkah itu merupakan tindakan proaktif sebagai langkah berjaga-jaga dan bukannya petanda negara sedang berdepan krisis keselamatan siber.
Langkah itu disusuli arahan kepada semua ketua sektor dan entiti NCII supaya memperketat pemantauan serta mengemukakan laporan mingguan kepada NACSA secara berkala, termasuk ketika tiada insiden berlaku.
“Keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama dan setiap individu boleh menyumbang dengan mengamalkan langkah keselamatan yang betul serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya.
Megat Zuhairy berkata kerajaan dan industri perlu mengutamakan perkongsian risikan ancaman dengan pantas, membangunkan bakat tempatan serta melaksanakan pemantauan berbantukan teknologi, termasuk AI, bagi memperkukuh pertahanan siber negara pada masa hadapan.
Beliau berkata latihan dan simulasi insiden secara berkala juga penting, manakala penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) di bawah NACSA turut membantu memperkukuh kepakaran serta keupayaan teknologi keselamatan siber negara. – Bernama





