
LIMBANG: Penduduk yang tinggal di kawasan pesisir Sungai Limbang dinasihatkan agar lebih berwaspada ketika menjalankan sebarang aktiviti berhampiran sungai, susulan insiden serangan buaya yang meragut nyawa seorang penduduk di daerah ini baru-baru ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, isu keselamatan di kawasan sungai perlu diberi perhatian serius, khususnya dalam kalangan penduduk yang bergantung kepada sungai untuk mencari rezeki dan melakukan aktiviti harian seperti mencuci pakaian, terutamanya ketika berlakunya gangguan bekalan air.
Menurutnya, populasi buaya yang dikategorikan sebagai reptilia ganas semakin meningkat. Berdasarkan tinjauan habitat dan pemantauan populasi yang dijalankan secara berterusan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), dianggarkan terdapat kira-kira 25,000 ekor buaya di seluruh Sarawak, termasuk di kawasan Limbang.
“Nasihat saya kepada orang awam berhati-hatilah dan susah juga kita nak melarang mereka memancing tapi kena berhati-hati kalau sebelah malam itu memang bahaya.
“Begitu juga apabila menggunakan air sungai untuk aktiviti harian, terutama ketika berlaku gangguan bekalan air paip, penduduk terpaksa mandi atau menjalankan urusan harian di sungai.
“Jadi kena berhati-hati. Kedua, saya memohon kepada SFC untuk membuat satu program khas bagi Limbang ini khususnya daerah Limbang sebab kejadian terbaru melibatkan Limbang jadi SFC perlu membuat program penerangan mungkin juga membuat program khas pemburuan buaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Patiambun (SEPA)L Excellence Award Ceremony (SEAC) 2025 di Dewan Seri Perdana, SEPAL, Limbang, semalam.
Serangan buaya terhadap manusia bukan lagi sesuatu yang baharu bagi penduduk tempatan di Limbang, dengan lima insiden direkodkan di daerah ini dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Terbaru seorang penduduk Kampung Pandam, Karim Osman, 58, menjadi mangsa serangan buaya ketika memancing ikan pada Selasa lepas.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna pada 2.28 petang keesokan harinya.
Dr Abdul Rahman turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa serangan buaya terbabit.
Oleh Adeng Edrus