SIBU: Mahkamah Majistret hari ini, menjatuhi hukuman penjara setahun dan satu sebatan ke atas seorang penganggur setelah mengaku bersalah mencederakan seorang pengawal keselamatan dengan menggunakan topi keledar.
Majistret Oon Kork Chern menjatuhkan hukuman itu terhadap Franklin Kesulai, 37, memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh penangkapan pada 12 September 2024.
Franklin yang mempunyai beberapa kesalahan lampau, didakwa mencederakan seorang pengawal keselamatan dengan menggunakan topi keledar yang boleh menyebabkan kematian mangsa di pekarangan sebuah tokong Jalan Temple pada 1 September 2024, lebih kurang 4.00 petang.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman terbabit, jika sabit dengan kesalahan.
Mengikut fakta kes, ketika pengadu sedang bekerja, tiga lelaki dan seorang wanita yang tidak dikenali telah menyerangnya, dan salah seorang daripada mereka telah memukul pengadu dengan topi keledar sementara seorang lagi menggunakan botol arak di bahagian kepala.
Pengadu mengalami kecederaan di kepala dan mendapat rawatan di Hospital Sibu serta menerima enam jahitan di bahagian kening.
Kejadian berlaku disebabkan kumpulan terbabit mendakwa pengadu membuang beg mereka dari tempat kejadian.
Pada 12 September 2024, lebih kurang 12.30 tengah malam, pihak polis telah menahan seorang lelaki iaitu tertuduh di Jalan Mission bagi membantu siasatan.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Siti Mariyah Bahari sementara tertuduh tidak diwakili.
Oleh Akun Giman