
LAWAS: Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, telah menyaksikan Majlis Serah dan Terima Tugas bagi jawatan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KBPJKK) IPD Lawas, antara Inspektor Md Nizan Ismadi Ibrahim @ Mahmood selaku penyerah tugas, dan Inspektor Mohd Syamsul Samsuddin sebagai penerima tugas.
Inspektor Md Nizan Ismadi telah berkhidmat di IPD Lawas sejak 2022 dan kini akan bertukar ke IPD Limbang untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.
Sementara itu, Inspektor Mohd Syamsul, yang kini menjawat jawatan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Lawas, akan memangku jawatan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Lawas sehingga jawatan tersebut diisi secara hakiki.
Pada majlis berkenaan, DSP Liong Tindan merakamkan ucapan terima kasih kepada Inspektor Md Nizan Ismadi atas sumbangan dan bakti yang telah dicurahkan kepada IPD Lawas serta Daerah Lawas secara amnya.
“Inspektor Md Nizan telah menunjukkan prestasi kerja yang amat baik, khususnya dalam menyelia dan mengurus Bahagian Pencegahan Jenayah IPD Lawas. Diharapkan beliau akan terus mengekalkan prestasi cemerlang di formasi baharu nanti.
“Inspektor Mohd Syamsul diharap dapat meneruskan kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh Inspektor Md Nizan dalam memimpin BPJKK IPD Lawas, khususnya dalam melaksanakan peranan sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah, Pegawai Perhubungan Masjid, Amanita serta pelbagai program pencegahan jenayah dan komuniti di Daerah Lawas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis turut disaksikan semua pegawai daripada IPD Lawas.
Oleh Adeng Edrus