Oleh: Awang Alfizan
“BEDAH, dah siapkah baju kurung seragam sekolah yang aku tempah hari itu?” Soalku setelah tiba di kedai jahit yang terletak di tengah kampung.
Suara terjahanku mengejutkan Bedah yang sedang fokus bekerja di depan mesin jahitnya. Mujur tidak tersalah jahit. Aku lantas meletakkan sebungkus plastik yang berisi kelupis yang dipesan oleh Bedah di atas mejanya.
“Kau ini Ton! Terperanjat aku. Nah, ini baju seragam yang kau minta. Kau ini peliklah, orang lain esok nak raya pergi beli baju raya. Kau pula pergi tempah baju seragam sekolah. Kau tak nak buat baju raya sepasangkah Ton?” Bedah lantas menghulurkan sepasang baju kurung seragam sekolah yang siap dijahitnya itu kepadaku.
“Tak mengapalah Bedah. Baju kurung lama aku berlambak tergantung dalam almari. Muat lagi. Cucu aku dah masuk sekolah berasrama penuh. Jadi, dia mesti mahu baju seragam sekolah baharu.”
Dalam perasaan teruja, aku membelek-belek baju kurung putih dan berkain biru muda itu. Memerhati setiap jahitannya yang kemas. Selepas berpuas hati dengan hasil tangan Bedah ini, aku pun melipat baju seragam itu lalu dimasukkan ke dalam bakul rotanku.
“Upah kau, aku tolak dengan pesanan kelupis yang aku buat ini. Terima kasih, Bedah. Aku pulang dulu.” Aku kemudian bergegas pergi kerana masih banyak bungkusan kelupis yang perlu aku hantar ke rumah-rumah pelanggan di sekitar kampung.
Bedah yang sudah terbiasa dengan tingkah anehku itu hanya mampu menggelengkan kepala. Masuk tahun ini, sudah beberapa kali aku menempah baju kurung seragam sekolah tatkala hampir tiba lebaran.
‘Anita pasti suka!’ Bicara hatiku riang sambil berjalan di atas jambatan menuju ke rumah pelanggan yang seterusnya.
* * * * *
Pagi itu dengan keadaan terpaksa aku hadir ke dewan sekolah untuk meraikan majlis kesyukuran atas keputusan PMR cucuku dan rakan setingkatannya. Sebagai wakil penjaga semenjak ibu Anita dan Anis pergi menitipkan mereka kepadaku, aku harus kembali memainkan peranan orang tua dalam merawat mereka. Ibu mereka yang tidak bertanggungjawab itu hanya melepaskan bebannya kepadaku.
Sehelai tudung bawal berenda putih dan baju kurung batik menjadi busanaku semasa majlis itu. Tidak lupa juga aku hiasi wajahku dengan bedak dan gincu merah yang aku beli di kedai runcit sebelah surau. Barulah orang ramai mengagumi gayaku yang masih awet muda meskipun sudah berusia dan mempunyai dua orang cucu. Gelaranku sebagai pembuat kelupis yang paling cantik dan popular pasti meniti di bibir-bibir tetamu yang datang ke majlis tersebut.
“Seterusnya, dipersilakan Anita binti Amin untuk mempersembahkan pidatonya yang bertajuk ‘wanita bukan sekadar jelita’ sebelum kita memulakan majlis.” Pengacara majlis mula menjemput cucuku untuk tampil ke atas pentas.
Sejak sekolah rendah lagi cucu sulungku ini terserlah dengan bakat dan kepintarannya. Dia sering diminta untuk membuat persembahan pidato setiap kali ada majlis. Kepetahan bicara dan kebijaksanaan ucapannya menjadikan dia sering memenangi sayembara pengucapan awam. Dia juga telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksan PMR. Namun, semua ini sedikit pun tidak membuatku rasa bangga atau kagum dengan keupayaan Anita kerana bagiku sepandai-pandai seorang perempuan, akhirnya akan duduk di dapur juga.
“Di tangan saya sekarang ada sebiji buah rambutan. Kulitnya merah menyala. Isinya lembut dan manis tetapi bijinya keras tidak bisa dimakan. Begitu juga wanita pada zahirnya, dari luaran terlihat jelita dan menyerlah. Dalaman nalurinya bersopan lembut serta beretika. Namun, ada sesuatu yang tidak disedari oleh manusia tentang kekentalan jiwa dan kesungguhan melakukan sesuatu dalam diri seorang perempuan. Lihat sahaja dalam hikayat lama, ibu Tanggang sanggup menanti kepulangan anaknya meskipun sudah lama dia tidak kembali. Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang pula rela menguatkan semangat untuk mendamaikan kedua-dua kampung yang berbalah kendatipun sukar. Semua ini jelas menunjukkan keteguhan hati wanita lebih keras berbanding biji rambutan ini. Terbukti juga bahawa nilai ini sudah lama dipupuk dari leluhur moyang kita lagi. Akan tetapi, mengapa hak serta maruah wanita pada masa kini seolah digadai dan tidak dipeduli? Hanya lebih dipandang pada kejelitaan dan bukan pada akal buah fikirannya.”
Ucapan pidato Anita tadi benar-benar membuat para tetamu, guru, ibubapa serta pelajar yang lain terbuka mata serta minda mereka. Masing-masing memberikan tepukan gemuruh kepadanya. Mereka tidak menyangka bahawa gadis yang berumur 15 tahun itu sudah pandai mengulas isu-isu yang sangat penting dalam masyarakat.
Aku pula yang sedang duduk di sudut dewan hanya tertawa sinis. Cucuku itu terlalu muda untuk berbicara soal wanita. Jauh dengan realiti sebenar. Perempuan pada dasarnya cukup mempunyai rupa yang menawan dan boleh memasak untuk mengisi perut keluarga. Tidak perlu terlalu pandai atau bekerjaya kerana pada akhirnya akan menjadi sepertiku, suri rumah dan pengusaha kecil-kecilan. Buktinya sahaja anakku gagal menjadi seorang ibu dan wanita kerana tidak mahu mendengar pandanganku yang jelas ini.
Usai majlis, kami berdua pun pulang ke rumah. Anita yang dari tadi terlihat segan dan ketakutan ketika berada bersamaku membuatku berasa aneh. Sehinggalah ketika aku sedang membersihkan daun pisang di beranda rumah, cucuku itu mengejutkanku dengan sepucuk surat.
“Nek, Anita dapat tawaran sambung tingkatan empat di sekolah berasrama penuh di Miri. Kalau nenek izinkan, Anita nak terima tawaran ini. Insyallah masa depan Anita akan lebih terjamin kalau bersekolah di sana. Biasiswa dan bantuan pembelajaran juga disediakan oleh pihak sekolah untuk Anita.” Dalam keadaan gementar Anita menyampaikan hasratnya itu. Adiknya, Anis yang turut membantuku membersihkan daun pisang ini merasa teruja dengan pencapaian kakaknya.
Aku berjeda sejenak. Permintaannya tadi aku abaikan dengan kening yang berkerut pada jidatku yang berkedut. Anita yang merasa kecewa kembali menyusun dedaun pisang yang bersih ke dalam bakul. Setelah puas berfikir barulah aku mula bersuara.
“Aku tak izinkan.”
“Aku tidak mahu cucu-cucuku senasib seperti ibumu. Anakku dulu seorang gadis yang bercita-cita besar. Ingin menimba ilmu hingga ke menara gading. Meski sudahku larang tetapi arwah datuk kalian tetap membenarkan pemergiannya. Pada awalnya, aku masih menerima keputusan anak itu sehinggalah dia menjadi isteri kepada orang di negeri lain. Ayah kalian meninggal dunia beberapa tahun kemudian. Menjadikan anakku janda beranak dua.” Aku menjadi sebak dan kesal setiap kali mengenangkan nasib malang yang ditimpa oleh puteri tunggalku itu.
Peristiwa sepuluh tahun yang lalu terlintas dalam fikiranku. Ketika itu anakku pulang membawa cucu-cucuku. Dia merayu agar aku mahu menjaga anak-anaknya sementara dia berusaha mencari pekerjaan tetap di kota. Mahu atau tidak, aku tetap bersetuju untuk merawat mereka kerana aku sudah tidak memiliki sesiapa lagi. Namun, sehingga kini anakku tidak juga kembali menjemput anak-anaknya. Hanya sekali sebulan dia akan mengirimkan wang perbelanjaan untuk kami di sini. Katanya, dia sudah mempunyai pekerjaan di sebuah pejabat tetapi gajinya tidak cukup untuk menampung mereka anak-beranak jika mereka dibawa tinggal bersama di bandar.
“Tapi nek, Anita nak kejar cita-cita!” Tegas Anita yang berkeras untuk pergi melanjutkan persekolahannya di sekolah berasrama penuh itu.
“Terpulanglah. Nenek dah malas mahu ikut campur dengan urusan anak gadis pada zaman sekarang. Susah diatur dan kuat berangan-angan. Berbeza dengan gadis pada zamanku yang lebih akur dan mendengar kata. Cuma satu sahaja pesanku. Nenek tak akan pernah izinkan kamu pulang ke rumah ini lagi. Jadilah seperti ibumu.” Aku lantas bangkit dari tempat dudukku menuju ke kamar dengan hati yang sungguh kesal.
* * * * *
Apa yang aku takutkan telah terjadi. Anita tekad dengan keputusannya. Dia sendiri yang menguruskan segala urusan perpindahan sekolahnya ke sana. Sehinggakan dia sanggup melakukan kerja sambilan sebagai pelayan dan tukang cuci piring di warung untuk mengumpulkan wang perbelanjaannya di sekolah nanti.
“Kenapa kakak tak beli sahaja baju baharu? Seragam sekolah kakak ini sudah banyak koyak,” soal Anis kepada Anita yang sedang menjahit kesan koyak pada seragam sekolahnya di bawah pohon rendang.
“Selagi boleh pakai, kakak akan pakai. Lagipun banyak lagi yang hendak dibayar,” balas Anita sambil tersenyum lelah.
Aku yang sedang menyidai kain di atas jemuran mendengar semua perbualan cucu-cucuku. Kendatipun aku merasa simpati terhadap keperitannya, aku tetap mengabaikannya agar dia merasa menyesal atas keputusannya itu.
Beberapa hari kemudian, awal-awal pagi lagi Anita sudah bersiap dengan bagasinya untuk pergi ke stesen bas menuju ke Bandar Miri. Aku yang enggan melihat kepergiannya hanya berpura-pura tidur di dalam kamar. Cucu sulungku itu lantas menjengukku seketika sebelum dia berangkat. Dia menyelimuti tubuhku lalu mencium tanganku. Namun, aku masih dalam keadaan menutup mata.
“Mengapa terlalu sulit untuk menjadi seorang wanita?”
“Gadis kecil diarah menuntut ilmu tetapi tidak boleh terlalu pintar. Setelah remaja pula dipinta berdikari tetapi tidak boleh menjadi terlalu dewasa. Seorang isteri diharapkan agar bisa melakukan banyak perkara tetapi tidak boleh melebihi suami. Dan seorang janda diminta untuk lebih berusaha tetapi tidak dihulurkan bantuan. Begitu sukarnya menjadi seorang perempuan, ya nek.” Anita meluahkan segala isi hatinya sambil duduk di samping ranjangku.
“Nek, Anita pergi dulu.” Selangkah cucuku itu melangkah keluar dari bilikku membuatkan setitis air mataku jatuh ke bantal. Namun, tidak setanding dengan keegoan yang membentengi kepiluan.
* * * * *
Tanpaku sedar, sudah berbulan Anita berada di sekolah baharunya. Sekali pun dia tidak pernah pulang. Hanya sesekali aku mendengar khabarnya tatkala Anis menghubunginya. Lebaran pula bakal menjelma tidak lama lagi tetapi aku langsung tidak berniat untuk menjemputnya di sana kerana ingin memberinya pengajaran agar harus mendengar kata.
“Ke mana pula anak dara seorang ini?” Bebelku sambil bercekak pinggang menunggu kepulangan Anis yang kerap kali pulang lewat ke rumah sejak beberapa hari ini.
Mujur sebelum azan maghrib berkumandang kelibatnya sudah kelihatan di halaman rumah. Sempat juga aku berbuka puasa bersama cucu bongsuku itu. Apabila disoal, katanya dia mahu mencari wang saku lebih untuk kegunaan hari raya nanti. Aku yang dari dulu sering bersikap dingin dengan cucu-cucuku hanya mengabaikan kata-katanya dan tidak bertanya tujuan sebenarnya.
Pada malam itu, aku tidur lebih awal meskipun esok merupakan hari lebaran. Segalanya sudah aku siapkan. Kelupis sudahku kukus dan rendang juga sudah aku masak. Tidak lupa biskut raya yang sudah siap disusun ke dalam balang untuk dihidang pada keesokan harinya. Beginilah gaya dan disiplin hidupku walaupun tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi, aku bisa menguruskan hal-hal rumah dengan sempurna.
“Anita! Anis! Buat apa di situ?” Entah bagaimana, tiba-tiba sahaja aku berada di tepi jalan raya.
Aku melihat cucu-cucuku itu sedang berdiri di tengah jalan dengan tatapan kosong memandang ke arahku. Meskipun sudah beberapa kali aku memanggil mereka untuk ke mari kerana takut jika ada kenderaan yang ingin melintas, mereka tetap tidak berganjak.
Sehinggalah sebuah lori memandu laju ke arah mereka dan bahagian tubuh mereka habis bertaburan di atas jalanan akibat dilanggar. Aku yang menyaksikan kejadian itu secara langsung tidak mampu melakukan apa-apa dan hanya bisa meraung meminta tolong.
“Anita! Anis! Ya Allah, cucu-cucuku.” Aku lantas terjaga dari mimpi ngeri itu. Keringat membasahi dahiku. Aku terus terburu-buru bangkit dari katil lalu memeriksa Anis di kamarnya. Saat aku menyelak kelambunya, dia betul-betul sudah tiada.
“Mana pula cucuku ini pergi,” cemasku sambil mencari sosoknya di setiap sudut rumah.
Usai memastikan ketiadaannya di rumah, aku terus bertanya kepada jiran-jiran di sekitar. Mujur pada waktu itu baru sahaja jam 10 malam dan orang-orang kampung masih sibuk membuat persiapan untuk lebaran pagi nanti.
“Tadi waktu saya sedang bakar lemang ada saya terserempak dengan cucu Nek Ton. Bila ditanya ke mana, katanya dia mahu ke stesen bas,” ujar salah seorang jiran yang tinggal berhampiran.
Tekaanku benar bahawa selama ini Anis mencari wang tambahan kerana ingin membeli tiket bas untuk kakaknya pulang beraya. Betapa gigihnya usaha gadis kecil itu untuk meraikan Aidilfitri bersama kakaknya. Dalam keadaan khuatir jika terjadi sesuatu yang buruk berlaku terhadap mereka berdua, aku terus bergegas ke stesen bas yang mengambil masa setengah jam juga untuk ke sana.
Setibanya di sana, puas aku mencari kelibat cucuku itu di mana-mana. Sehinggakan penjaga kaunter dan pengawal keselamatan aku tanyakan tetapi hasilnya tetap sia-sia. Mereka tidak melihat cucuku di kawasan sini.
Saat buntu hendak ke mana lagi, aku mendengar keriuhan daripada pekerja-pekerja stesen bas. Dimaklumkan bahawa terdapat kemalangan jalan raya terjadi saat sebuah bas dari Miri hendak menuju ke mari. Lututku yang tua ini terasa goyang setelah mengetahui berita itu. Seolah-olah mimpiku tadi ialah petunjuk bagi kejadian duka ini.
* * * * *
Siapa sangka keegoanku telah mengorbankan nyawa cucu-cucuku. Aku bukan sahaja gagal menjadi nenek kepada mereka tetapi aku turut gagal menjadi seorang wanita. Wanita yang seharusnya mendengar dan memahami suara dan kehendak wanita lain. Aku malah menutup telinga dan mata akan keinginannya.
Setelah mendengar ada tetamu yang datang beraya, aku lantas menggantungkan baju kurung seragam sekolah itu di dalam almari. Terdapat dua helai lagi baju seragam yang tergantung bersama yang menandakan bahawa sudah tiga tahun Anita dan Anis pergi dijemput Ilahi.