Oleh: Dayang Mary Marlini Abang Adeni
HUSNA terkejut dari mimpi ngeri yang bertandang, jam di dinding menunjukkan pukul 2 pagi. Nasib jugalah kerana mimpi itu telah mengejutkan lenanya. Bunyi ‘whatsapp’ yang masuk juga telah mengejutkannya, mana tidak, telefon bimbit itu berada di tepi bantalnya. Dia menekup mukanya, seraya beristighfar di dalam hati.
Dia sering mendapat gangguan mimpi itu, namun ada masa juga mimpi itu datang menjengahnya di kala fikirannya berserabut. Barangkali ingatannya yang terlalu kuat mengingati kedua-dua arwah ayah dan ibunya. Memang terasa sekali tanpa insan yang tersayang di sisi.
Husna mencapai telefon bimbitnya, membaca pesanan ringkas majikannya. Namun ada panggilan masuk yang tidak berjawab sebanyak tiga kali. ‘Ouch’, Husna menepuk dahinya, nyenyak benar dia tidur sehinggakan tidak mendengar pun panggilan telefon majikannya itu.
‘Husna, tolong wakilkan saya untuk hadiri satu mesyuarat, di Miri. Mesyuarat tu penting. Tiket kapal terbang awak saya sudah suruh Puan Sharifah uruskan. *Tuan Haji Badar’.
Pesanan ringkas dari Tuan Haji Badar itu membuatkan Husna membebel. Macam manalah dia nak pergi ke sana, lebih baik dia memandu sendiri ke Miri. Dia fobia apabila mendengar sahaja perkataan kapal terbang, dia terus teringat akan kedua orang tuanya. Mereka meninggal dunia kerana nahas udara ketika mahu menghadiri majlis konvonya di USM Pulau Pinang.
Fobianya Husna hanya Allah sahaja yang tahu. Apa- apa urusan dia selama ini, dia sanggup memandu dan menaiki bas atau teksi sahaja. Dia tidak mahu menaiki kapal terbang kerana pasti dia teringat akan kedua-dua arwah ayah dan ibunya.
Husna sudah bangun dalam pukul 4 pagi, matanya sudah segar malar, tidak terasa mengantuk lagi kerana setelah dia solat isyak dia terus tertidur. Mengingatkan amanat majikannya itu, membuatkan dia gusar dan susah hati, mahu sahaja dia membantah tetapi apakan daya itu sudah arahan majikannya. Tuan Haji Badar begitu mempercayai Husna.
Husna menghadap laptopnya, menyudahkan sedikit tugasan di pejabat yang belum diselesaikan lagi. Teringat pesan arwah ibunya, jangan tidur lagi, nanti terbabas pula solat subuh. Dia perlu menyiapkan sedikit laporan yang perlu dibentangkan semasa dia menghadiri mesyuarat itu nanti. Waktu subuh sudah masuk, berkumandang suara azan sayup kedengaran memecah kesunyian di pagi hari. Tenang sungguh dikala subuh ini, monolog Husna lagi. Usai solat dia merehatkan diri di ruang tamu, menunggu pagi pula menjengah. Dia menatap potret arwah ibu dan ayahnya, rindunya pada mereka hanya Allah sahaja yang tahu. Begitu cepat masa berlalu, sudah empat tahun mereka meninggalkan Husna pergi menghadap Ilahi di negeri yang abadi. Semoga arwah ayah dan ibunya tenang di sisi Ilahi.
Pagi itu agak awal juga Husna ke pejabat kerana mahu menyiapkan tugasannya. Kerana dia akan pergi bermesyuarat di Miri. Terpaku memandang dia atas mejanya, slip tiket kapal terbang sudah berada di atas mejanya. Mundar mandir Husna di biliknya, dia tidak mahu menaiki kapal terbang, dek kerana peristiwa hitam yang telah menimpa kedua orang tuanya. Fobia benar dia kalau mengingatkan hal itu. Sudahlah tragedi kapal terbang terhempaslah, tergelincirlah, kesalahan teknikal dan macam-macam lagi benar-benar menggusarkan jiwanya.
Dia berkeputusan untuk memandu sendiri ke Miri. Dia tidak mahu menaiki kapal terbang waima segala perbelanjaan itu ditanggung oleh Syarikatnya. Dia sanggup membayar balik tiket kapal terbang yang telah disediakan oleh majikannya itu. Tuan Haji Badar akur sahaja dengan keputusan Husna, namun majikannya tidak mahu Husna membayar balik tiket itu.
Husna gembira kerana majikannya memahami situasinya itu sehinggakan dia terpaksa menceritakan segala peristiwa yang telah menimpa kedua orang tuanya kepada majikannya, Tuan Haji Badar. ini bermakna lapanglah sedikit hatinya yang telah dan bingung itu. Selama ini dia selalu mengelak sekiranya dia diarahkan oleh majikannya untuk pergi menghadiri urusan rasmi. Dia lebih sanggup memandu mahupun menaiki pengangkutan awam yang lain asalkan bukan kapal terbang. Sampai begitu sekali fobianya Husna hendak menaiki kapal terbang, sehinggakan makciknya menyuruh dia berjumpa pakar kaunseling yang dapat meredakan sedikit fobia dan traumanya itu.
“Cik Husna, Allah telah menyebut ‘kun fayakun’, bermakna jadilah maka jadilah ia. Allah mengkehendaki sesuatu, Dia sahaja yang berkuasa, kita sebagai manusia mestilah menerimanya dengan redha. Kehidupan untuk manusia yang masih bernafas, iaitu kita ini perlulah diteruskan. Kita berjuang untuk hidup, begitu juga arwah ayah dan ibu Husna yang menjadi mangsa nahas kapal terbang. Itu semua telah tercatit di Luh Mahfuz, bagaimana kematian kita kelak.” Terngiang-ngiang suara Puan Hayati, pakar kaunseling yang dia jumpa tempoh hari.
Husna cuma fobia dengan kematian kedua orang tuanya, dia beruntung masih boleh melihat jenazah mereka berbanding dengan mayat manusia yang sudah berkecai dan hancur serta tidak dapat dikenal pasti, seperti nahas MH17. Dia cukup terharu mengenangkan keluarga yang ditimpa ujian itu.
Pasti kesedihan itu sentiasa bertandang namun kehidupan perlu diteruskan. Setiap kali raya pertama dia akan menziarahi ke pusara kedua-dua arwah ayah dan ibunya itu. Entahlah dia tahu kelemahannya menaiki kapal terbang, ke mana sahaja rakan-rakannya pergi bercuti ke luar negara pasti dia menolak tidak mahu pergi bersama.
Husna perlu mencari kekuatan untuk melawan rasa fobia dan traumanya itu. Sampai bila dia menjadi seorang penakluk mimpi ngeri yang sentiasa mengganggu lenanya. Dek kerana kebimbangan yang melampau sehingga mengganggu tugas serta kehidupan kita seharian. Dia bertekad semoga diizinkan oleh Allah suatu hari kelak pasti dia akan memijak kaki menaiki kapal terbang juga. Husna merasakan dia benar-benar tertekan dengan keadaannya sekarang. Nanti penyakit mental pula yang menyerang, jauhkanlah!. Monolog Husna lagi. Husna tidak mahu tertekan lagi dengan keadaan yang melanda dia ketika ini, sentiasa takut berdepan dengan sesuatu situasi yang membuatkan dia berada dalam trauma.
Semasa di dalam perjalanan dia membuka siaran radio keretanya, dia mendengar berita sebuah kapal terbang yang mengalami kerosakan teknikal, namun selamat mendarat di lapangan terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang. Husna mendengar dengan tekun berita itu, tetapi dia memberhentikan keretanya di tepi jalan. Dadanya berombak kencang mendengarkan berita itu lantas dia teringat dengan bagaimana keadaan dia setelah mendengar berita yang meragut nyawa kedua orang tuanya.
Husna cuba menenangkan dirinya, dia beristighfar. Makciknya juga berpesan supaya jangan terlalu mengingati perkara itu. Perkara yang sudah berlaku, Qada dan Qadar Allah itu sudah tertulis. Dia tahu ramai yang telah menasihatinya supaya redha dengan apa yang telah menimpa dirinya. Hidup perlu diteruskan! Husna bertekad untuk mengubah keadaan dirinya yang agak tertekan beberapa tahun setelah kedua-dua orang tuanya meninggal.
Dahulunya dia seorang yang peramah dan ceria, kini dia jarang menghubungi rakan –rakannya. Kasihan si Salma rakan baiknya di Universiti dahulu mengajaknya bercuti ke Pulau Jeju Korea. Langsung dia tidak melayan permintaan rakannya itu. Husna berhasrat untuk menghubungi Salma nanti, rasa-rasanya hatinya sudah tergerak untuk melawan segala apa yang melandanya selama ini. Mana tahu dengan pergi bercuti, dapat melapangkan mindanya, menenangkan jiwanya yang tertekan.
Husna memohon cuti daripada majikannya, percutiannya kali ini agak lama. Dia benar-benar mahu berubah. Rakannya Salma begitu gembira sekali mendengarkan berita itu.Salma faham dengan keadaan Husna dia akan memberi sokongan kepada rakannya itu. Hasratnya untuk pergi bercuti telah di ketahui oleh makciknya, nampaknya semua orang gembira dengan perubahan yang berlaku terhadap Husna.
Makciknya sempat memberi nasihat kepadanya supaya berhati-hati. Kita berhak meneruskan kehidupan dengan kegembiraan bukannya terus berduka. Kehidupan di dunia perlulah dinikmati. Namun dalam mengejar kenikmatan itu jangan lupa pula dengan urusan ukhrawi. Husna merasa tenang sekarang, walaupun rasa trauma itu masih ada, dia cuba menepisnya. Persiapan untuk bercuti ada dua minggu lagi. Persediaan dari segi fizikal dan mental mahupun emosi mesti ada. Dia mahu menyelesaikan semua tugasnya sebelum bepergian. Masa untuk bercuti dia tidak mahu diganggu dengan tugas-tugasnya kelak. Biarlah dia pergi bercuti dengan tenang.
Husna tetap memikirkan bagaimanalah rupanya nanti apabila berada dia dalam kapal terbang nanti. Sanggupkah dia menghadapi situasi itu nanti. Namun dia mesti berkeyakinan untuk melawan perasaan yang mengekang dirinya selama ini. Takut, fobia dan trauma!
Ingatlah Allah sentiasa berada bersama kita, berdoalah sentiasa kepada Allah supaya dielakkan dari malapetaka yang tidak kita pinta, pesan makciknya itu sentiasa bermain di telinganya.
“Husna kau dah bersediakah untuk pergi bercuti? Tanya Salma kepada Husna.
“In sya Allah Salma, kau jangan nak menakutkan aku pula. Aku dah tekad ni nak naik kapal terbang sekian lama dah aku benci dengan apa-apa yang ada kaitan dengan hal penerbangan.” Jawabnya pula sambil menghirup jus tembikainya itu.
“Manalah tahu kau berubah hati, di sana nanti kita buat reunion, ramai lagi rakan-rakan kita yang sama sekolah dahulu aku ajak pergi bercuti. Lama dah kita tak bersama macam ni. Masing-masing dengan hal sendiri.” Kata Salma lagi.
“Ermm…macam menarik pula percutian kali ni, aku harap ada sesuatu transformasi pada diri aku ni nanti. Kita sama berdoa semoga perjalanan kita sampai ke destinasinya. “ujar si Husna lagi.
“Kau ni jangan fikir yang bukan-bukan, aku ni dah tak sabar dah nak bercuti. In sya Allah kita selamat. Jangan fikir yang bukan-bukan. Kuasa Allah semuanya tu. Ingat sahaja maut dan ajal itu di mana-mana sahaja, kalau sudah sampai masanya. Itu semua ketentuan Allah.
Husna hanya mengangguk kata-kata Salma itu. Dia pun berharap begitu supaya dijauhkan dari segala perkara buruk yang menimpa. Setiap malam sebelum hendak bercuti Husna melakukan solat hajat dan solat istikharah, memohon petunjuk daripada Allah. Alhamdulillah hatinya semakin tenang, dia tekad dia sudah berani menghadapi situasi itu nanti.
Sebelum pergi Husna telah menyampaikan hasrat hatinya kepada makciknya dia mahu membuat kenduri tahlil untuk kedua-dua arwah ayah dan ibunya.
Esoklah masa yang ditunggu-ditunggunya. Matanya susah benar mahu lelap, namun hatinya tenang. Biasalah tu, gementar rasanya untuk pergi kali ini. Sudahlah agak jauh pula tempat bercuti untuk dia menenangkan dirinya. Sehinggalah pagi sudah menjengah, dia sedar untuk solat subuh.
Husna sudah bersiap, barang-barangnya sudah dia punggah ke dalam kereta makciknya. Sekejap lagi makciknya yang menghantarnya ke lapangan terbang. Sepanjang perjalanan banyak juga celoteh makciknya itu, mungkin untuk menghilangkan rasa gugup Husna.
Di lapangan terbang kelihatan Salma sudah menunggu Husna. Dia berdebar-debar juga pada mulanya, namun hatinya sentiasa berselawat. Itu sahaja caranya untuk dia tenang. Salma sentiasa memberi sokongan kepadanya, ketepikan segala permasalahan yang ada, ini masa untuk menenangkan fikiran, bukan menambah segala permasalahan.
Husna berasa tidak percaya yang dia sudah berada di dalam pesawat sekarang ini. Jauh di lubuk hatinya dia panjatkan doa kepada Allah. Tangan Salma menggenggam tangan Husna, mereka berdua tersenyum.
Sepanjang perjalanan itu mereka berdua rancak berbual, selepas itu terlena. Namun berlakunya gegaran pesawat akibat berlanggar dengan awan. Cemas, panik berbaur rasa ketika itu. Degupan jantung Husna begitu laju. Dia berselawat di dalam hati memohon kepada Allah semoga keadaan akan baik. Selama 15 minit keadaan gegaran itu berlaku, Pramugara dan pramugari bergegas memastikan setiap penumpang berada dalam keadaan tenang. Kedengaran juruterbang mengumumkan sebentar lagi pesawat akan mendarat. Husna memejamkan mata, alhamdulillah ucapnya. Tiada apa-apa yang buruk, semua penumpang lebih-lebih lagi ada bayi yang menangis tadi sudah pun reda.
Husna gembira dan bersyukur kerana sudah sampai ke destinasinya. Dia memberanikan diri memandang ke luar cermin, tersenyum penuh makna. Maha Suci Allah. Memandang ke luar tingkap memerhati keindahan ciptaan Allah. Tanpa diduga sepasang sayap di kiri dan kanan. Fuhh, Husna menarik nafas lega sekejap lagi akan mendarat di Korea.