

WASHINGTON: Separuh penduduk dunia mengalami pertambahan cuaca panas melampau beberapa bulan sepanjang tempoh tahun lalu kerana perubahan iklim buatan manusia, menurut satu kajian baharu.
Menurut penulisnya, hasil dapatan itu menunjukkan bagaimana pembakaran berterusan bahan api fosil memudaratkan kesihatan dan kesejahteraan di setiap benua dengan impak itu kurang diiktiraf di negara membangun.
“Dengan setiap tong minyak dibakar, setiap tan karbon dioksida dibebaskan dan setiap pecahan darjah pemanasan serta gelombang haba akan menjejaskan lebih ramai orang,” kata seorang saintis iklim di Imperial College London, Friederike Otto dan pengarang bersama laporan itu.
Analisis yang dijalankan oleh saintis di Atribusi Cuaca Sedunia Pusat Iklim Bulan Sabit Merah dan Palang Merah yang dikeluarkan menjelang Hari Tindakan Haba global pada 2 Jun ini menunjukkan bahaya kelesuan dan strok haba.
Bagi menilai pengaruh pemanasan global, penyelidik melakukan analisis dari 1 Mei 2024 hingga 1 Mei 2025.
Mereka mentakrifkan ‘hari panas melampau’ lebih panas daripada 90 peratus suhu yang direkodkan di lokasi tertentu antara 1991 dan 2020.
Mereka membandingkan bilangan hari terbabit dengan dunia simulasi tanpa pemanasan yang disebabkan oleh manusia.
Hasil kajian mendapati kira-kira empat bilion orang iaitu 49 peratus daripada populasi global berdepan sekurang-kurangnya pertambahan 30 hari panas melampau.
Pasukan itu mengenal pasti 67 fenomena haba melampau sepanjang tahun dan mendapati semuanya terkesan akibat perubahan iklim.
Pulau Aruba di Caribbean paling teruk terjejas dengan mencatatkan 187 hari panas melampau, lebih 45 hari daripada yang diramal dalam dunia tanpa perubahan iklim.
Kajian itu meneliti keadaan setahun suhu global yang belum pernah berlaku sebelum ini.
2024 adalah tahun paling panas dalam rekod, melepasi 2023, manakala Januari 2025 merekodkan cuaca paling panas pernah dicatatkan. – AFP