Kylian Mbappe dari Perancis (kiri) dan Lamine Yamal dari Sepanyol akan bertembung dalam separuh akhir pertama Piala Dunia 2026. Foto AFP
PERLAWANAN separuh akhir pertama Piala Dunia FIFA 2026 menampilkan Sepanyol dan Perancis, dua pasukan ranking tertinggi di Eropah serta salah satu perseteruan paling hangat dalam bola sepak dunia.
Pertembungan antara pilihan utama sebelum kejohanan itu dianggap ramai peminat sebagai aksi paling dinantikan sepanjang Piala Dunia yang berlangsung sebulan dan sarat dengan drama di dalam serta di luar padang.
Aksi di Dallas pada awal pagi Rabu ini (waktu Malaysia) menjadi lebih istimewa apabila dua bakat muda paling menyerlah dalam bola sepak, Kylian Mbappe dan Lamine Yamal, berkongsi pentas yang sama.
Mbappe dan Yamal sudah beberapa kali bertemu dalam aksi El Clasico di La Liga, pertembungan terkenal antara Real Madrid dan Barcelona.
Namun kali ini pentasnya jauh lebih besar dan hadiahnya lebih bermakna apabila pemenang akan merealisasikan impian setiap pemain bola sepak untuk beraksi di final Piala Dunia.
Rekod pertemuan
Perancis dan Sepanyol bukan lawan asing dan sudah bertemu sebanyak 38 kali.
Sepanyol memiliki kelebihan dengan 18 kemenangan. Perancis pula menang 13 kali, manakala tujuh perlawanan berakhir seri.
Pertemuan terakhir mereka berlaku lebih setahun lalu dalam separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA 2025, apabila Sepanyol menewaskan Perancis 5-4 dalam aksi mendebarkan dengan dua gol Yamal memastikan kemaraan mereka.

Pernahkah mereka bertemu di Piala Dunia?
Perancis dan Sepanyol hanya pernah bertemu sekali di Piala Dunia FIFA.
Pertemuan itu berlaku pada edisi Piala Dunia FIFA 2006, apabila Perancis menewaskan Sepanyol 3-1 pada pusingan 16 terbaik hasil jaringan Franck Ribery, Patrick Vieira dan legenda Zinedine Zidane.
Perancis: Kekuatan dan kelemahan
Kekuatan utama Perancis terletak pada jentera serangan yang sangat berbahaya menerusi gandingan Bradley Barcola, Ousmane Dembele dan Michael Olise, yang diketuai penyerang utama mereka, Mbappe.
Pada peringkat kumpulan, Perancis menunjukkan beberapa kelemahan di bahagian pertahanan apabila dibolosi Senegal dan Norway, namun mereka mencatat tiga perlawanan tanpa bolos berturut-turut dalam pusingan kalah mati.
Sepanyol: Kekuatan dan kelemahan
Walaupun memiliki ramai pemain menyerang berkualiti, kekuatan sebenar Sepanyol ialah pertahanan yang kukuh.
Mereka hanya melepaskan satu gol dalam lima perlawanan, iaitu ketika menentang Belgium pada suku akhir.
Di bahagian serangan pula, pasukan itu kadangkala kelihatan perlahan dan kurang kreatif serta masih belum mencapai tahap terbaik.
Mereka memerlukan jaringan lewat pemain gantian Mikel Merino untuk memenangi dua perlawanan kalah mati terakhir, manakala Yamal yang kembali daripada kecederaan masih belum mempamerkan sepenuhnya potensi yang pernah membawa Sepanyol menjuarai UEFA Euro 2024. – Agensi