
LOS ANGELES: Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, menyifatkan aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 menentang Perancis sebagai “final sebelum final”.
Beliau berkata, kemenangan 2-1 ke atas Belgium pada aksi suku akhir hasil jaringan lewat Mikel Merino pada minit ke-88 membuktikan Sepanyol mempunyai keupayaan untuk menewaskan mana-mana pasukan, termasuk Perancis yang dianggap antara pilihan utama untuk muncul juara.
“Bukan keterlaluan jika saya katakan perlawanan ini ibarat final sebelum final,” kata De la Fuente pada sidang media selepas perlawanan.
“Kami merupakan antara pasukan yang berupaya melangkah ke final. Mulai sekarang, tumpuan kami sepenuhnya terarah kepada Perancis.
“Kami sedar akan keupayaan besar yang dimiliki mereka, namun kami juga tahu bahawa kami merupakan satu-satunya pasukan yang pernah menewaskan mereka dalam dua aksi separuh akhir,” katanya.
Sepanyol menewaskan Perancis pada separuh akhir Kejohanan Eropah 2024 sebelum muncul juara, selain mengatasi lawan yang sama pada separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA 2025.
“Perlawanan ini dijangka berlangsung dengan lebih terbuka berbanding sebelum ini. Kami perlu meningkatkan mutu permainan dan akan memberikan segala-galanya di atas padang.
“Perancis berada pada prestasi terbaik dan kami mempunyai corak permainan yang berbeza.
“Kami amat menghormati lawan, namun kami yakin mampu menewaskan mana-mana pasukan,” katanya. – AFP