Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sepanyol belasah Turkiye 6-0, Merino ledak hatrik
  • SUKAN

Sepanyol belasah Turkiye 6-0, Merino ledak hatrik

Utusan Sarawak 3 days ago

Merino meraikan jaringan kelima Sepanyol ketika membenam Turkiye. Foto AFP

KONYA, Turkiye: Mikel Merino meledak hatrik ketika Sepanyol membelasah Turki 6-0, awal pagi tadi untuk menguasai Kumpulan E dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Pemain tengah Barcelona, Pedri Gonzalez menjaringkan dua gol manakala Ferran Torres turut menemui sasaran buat anak buah Luis de la Fuente, yang kini mendahului kumpulan dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan.

Selepas menang 3-0 ke atas Bulgaria pada Jumaat lalu, jurulatih tersebut berjanji skuad juara Euro 2024 itu masih belum mencapai tahap terbaik mereka dan di Konya, mereka membuktikannya.

“Kami tahu kami perlu bermula dengan kuat sejak awal dan itulah yang kami lakukan, menguasai permainan,” kata Pedri.

“Saya rasa pasukan berjaya mengekalkan intensiti itu sehingga ke penghujung perlawanan dan keputusan ini mencerminkannya.”

Perlawanan yang sebelum ini dijangka menarik susulan pertembungan antara bintang muda Barcelona dan Sepanyol, Lamine Yamal, dengan pemain tengah Real Madrid dan Turki, Arda Güler tetapi jurang kelas antara kedua-dua pasukan terlalu ketara.

Pedri membuka tirai jaringan seawal minit keenam dengan satu penyudah kemas dari luar kotak penalti ketika Sepanyol bermula pantas.

Pemain Arsenal, Merino menyumbat gol pertamanya dengan rembatan padu hasil gerakan berpasukan menarik yang merobek benteng pertahanan Turki melalui hantaran pantas dan tajam.

Di pihak lawan, Güler berjaya mencipta peluang buat Kerem Aktürkoğlu yang menggegar tiang gol, namun ia kemudiannya didapati ofsaid.

Pemain sayap Athletic Bilbao, Nico Williams terpaksa dikeluarkan sebelum separuh masa pertama tamat akibat kecederaan paha, satu-satunya berita buruk buat Sepanyol malam itu.

Merino menjaringkan gol keduanya pada masa tambahan separuh masa pertama hasil hantaran daripada Mikel Oyarzabal, yang mencipta tiga bantuan gol dalam perlawanan ini.

Bintang muda berusia 18 tahun, Yamal melorongkan bola kepada rakan sepasukan di Barcelona, Torres, untuk gol keempat Sepanyol pada minit ke-53. 

Dia sekali lagi menjadi penyumbang apabila memberikan hantaran kepada Merino, yang melengkapkan hatriknya dengan satu rembatan lencong dari jarak jauh.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, meraih enam mata, bermain dengan cara begini dan menjaringkan tiga gol sesuatu yang luar biasa. Ini hatrik pertama dalam kerjaya saya,” kata Merino.

Yamal turut mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol sendiri tetapi sepakannya tinggi dan satu lagi tersasar sedikit ke tepi.

Dengan Turki ketinggalan enam gol, suasana menjadi tegang menyaksikan Güler yang berang menolak Yamal sambil kedua-duanya berbalas pandangan tegang.

De la Fuente kemudian mengeluarkan Yamal bagi meredakan keadaan, dan Sepanyol menghabiskan baki perlawanan tanpa insiden.

Jurulatih itu turut memberi peluang kepada pemain sayap Rayo Vallecano, Jorge de Frutos, untuk membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan dalam 20 minit terakhir.

Sepanyol memberi amaran awal bahawa mereka bersedia ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico sebagai antara pilihan utama.

La Roja, yang kali terakhir memenangi kejohanan itu pada 2010, kini mengutip enam mata, diikuti Georgia dan Turki masing-masing tiga mata. Bulgaria tercorot tanpa sebarang mata. – AFP

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Tiada penaja, hanya semangat, Brandon Baki juara Mr Sarawak 2025
Next: Trassmerah A dari Kabong muncul juara Pertandingan Tarik Tali Karnival Beting Maro 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.