

ATLANTA, Amerika Syarikat: Sepakan percuma ikonik Lionel Messi membantu Inter Miami melakar kemenangan mengejut 2-1 ke atas FC Porto pada aksi Piala Dunia Kelab awal pagi tadi.
Bintang Argentina itu menyudahkan sepakan percuma ke penjuru atas gawang pada separuh masa kedua untuk memastikan kemenangan mengejut buat pasukan MLS itu, sekali gus mencerahkan peluang mereka mara dari Kumpulan A.
Inter Miami dan Palmeiras masing-masing mengumpul empat mata, selepas kelab Brazil itu menewaskan Al-Ahly 2-0 pada perlawanan terdahulu – manakala Al-Ahly dan Porto masing-masing hanya memiliki satu mata.
Porto mendahului seawal minit kelapan menerusi sepakan penalti Samu Aghehowa dan mereka mendominasi babak pertama serta berpeluang menambah jaringan.
Namun Telasco Segovia menyamakan kedudukan buat Miami dua minit selepas babak kedua bermula, sebelum Messi meledak masuk sepakan percuma pada minit ke-54 untuk membantu mereka meraih kemenangan bersejarah – pada perlawanan yang dijangka ramai akan memihak kepada Porto.
Dimiliki bersama oleh bekas pemain antarabangsa England, David Beckham, Inter Miami menyertai MLS pada tahun 2020 dan menandatangani Messi pada 2023, yang melonjakkan profil kelab itu secara drastik.
Ia merupakan kemenangan kompetitif pertama kelab MLS ke atas pasukan Eropah, dalam pertemuan kedua selepas Chelsea menewaskan Los Angeles FC awal minggu ini.
“Ia satu kegembiraan yang mengujakan, seluruh pasukan berusaha keras, kami bermain dengan baik,” kata Messi kepada DAZN.
“Ia kemenangan yang amat penting untuk kami dan kami harus menikmatinya…
“Anda boleh lihat kami mahu bersaing dan hari ini kami bersaing dengan satu kelab Eropah yang amat bagus… kami tahu hari ini kami lebih lemah, tetapi kami ada kekuatan kami sendiri.” – AFP