Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sepak takraw platform bentuk disiplin, keyakinan diri belia – Doris 
  • SUKAN

Sepak takraw platform bentuk disiplin, keyakinan diri belia – Doris 

Utusan Sarawak 13 hours ago
DATO’ Sri Doris Sophia Brodie merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden PESTASA 2025 di Gelanggang Sentosa Indah RPR Sri Aman, semalam.

SIMANGGANG: Sukan tradisional sepak takraw bukan sahaja menjadi lambang warisan budaya Malaysia, malah telah berkembang menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, keyakinan diri dan ketahanan mental dalam kalangan belia.

​Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata keistimewaan sukan ini terletak pada gabungan kemahiran fizikal, strategi, dan kerjasama berpasukan yang tinggi.

​Beliau turut menekankan bahawa sepak takraw mempunyai peranan yang lebih mendalam daripada sekadar permainan.

​”Sukan ini bukan hanya menguji kecekapan fizikal, tetapi juga membina semangat juang, keyakinan diri dan daya tahan mental para pemain muda,” katanya.

PRESIDEN PESTASA, Awangku Hafizi Awang Azahari menyampaikan cenderahati kepada Doris.

​Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA) 2025 di Gelanggang Sentosa Indah RPR Sri Aman, semalam.

​Doris turut menyatakan rasa teruja dengan penyertaan 20 pasukan dalam kejohanan kali pertama dianjurkan di kawasan beliau.

​Beliau berkata, walaupun ini kali pertama kejohanan diadakan, semangat kesukanan dan kerjasama antara pasukan jelas terpancar sepanjang pertandingan.

​Menurut Doris, pengalaman dalam sukan tradisional seperti sepak takraw memberi pelajaran penting kepada belia untuk menghargai disiplin, menghormati peraturan, dan menghadapi tekanan dengan tenang.

DATO’ Sri Doris Sophia Brodie melakukan sepak mula menandakan bermulanya Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden PESTASA 2025.

​”Ini adalah nilai-nilai yang sangat berguna, bukan sahaja dalam sukan, tetapi dalam kehidupan seharian,” tambah beliau.

​Doris turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta dan mengajak masyarakat untuk terus menyokong sukan tempatan demi menjadikan Sri Aman lebih Mansang Maju.

​Sementara itu, Presiden PESTASA, Awangku Hafizi Awang Azahari menyifatkan penganjuran sulung ini membawa sejarah yang amat bermakna, bukan sahaja sebagai acara pertama PESTASA, tetapi turut menandakan kesinambungan perjalanan pembangunan sukan takraw di Sri Aman sejak persatuan itu didaftarkan secara rasmi pada 23 November 2011.

​Beliau menekankan bahawa kejohanan tersebut bukan sekadar medan persaingan, malah berperanan sebagai platform penting untuk memperkasa dan mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi menjadi kebanggaan Sri Aman pada masa hadapan.

“PESTASA akan memastikan kejohanan pertama ini berlangsung dengan penuh bermaruah dan profesional, setanding kejohanan lain,” jelasnya.

​Bagi meningkatkan motivasi para peserta, PESTASA telah menyediakan hadiah lumayan untuk kejohanan tersebut. Johan keseluruhan bakal membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta Piala Pusingan, Piala Iringan, Medal dan Sijil, manakala tempat kedua akan menerima RM700 dan pemenang tempat ketiga membawa pulang RM500, masing-masing turut menerima piala, medal, dan sijil.

Penghargaan khas turut disediakan untuk kategori Pemain Terbaik bagi posisi Tekong, Apit Kiri, dan Apit Kanan, di samping PESTASA turut menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Syarikat Megah Armada Sdn. Bhd. atas sumbangan penuh bagi keseluruhan piala kejohanan, termasuk Piala Pusingan.

​Mengakhiri kenyataannya, Awangku Hafizi dengan penuh harapan memohon agar pemimpin setempat, khususnya Ahli Parlimen dan pimpinan kerajaan yang lain dapat terus memberikan komitmen serta sokongan berterusan, terutamanya dalam bentuk peruntukan dana pembangunan, penyediaan peralatan latihan, kerja baik pulih gelanggang, dan penambahbaikan program pembangunan belia.

“Dengan ada sokongan padu ini, PESTASA yakin mampu memperluas program latihan, menganjurkan lebih banyak kejohanan, dan membawa nama Sri Aman ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Doris turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada PESTASA untuk menjalankan aktiviti persatuan.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Luahan kemarahan Salah goncang Liverpool ketika bintang itu dakwa dirinya ‘dikorbankan’ oleh Slot
Next: Saberkas Batang Ai juara edisi pertama Piala Presiden PESTASA 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.