
KUALA LUMPUR: Malaysia membuka gelanggang acara kuadran dengan menundukkan China pada aksi Kumpulan B Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 hari ini.
Pada aksi di Stadium Titiwangsa di sini, skuad negara yang mempertaruhkan Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahalril Aiman Halim, bagaimanapun bermula goyah apabila ketinggalan 2-7 sebelum bangkit dengan kemenangan set pertama 15-10.
Set kedua, China membuat dua pertukaran pemain dengan hasrat melakukan kebangkitan namun tidak mendatangkan hasil apabila dihukum Malaysia dengan kekalahan 3-15.
Jurulatih kuadran negara Mohammad Zulkarnain Abdul Rahman berkata anak buahnya lambat ‘panas’ sehingga menyaksikan persembahan kurang baik pada awal perlawanan.
“Pada awalnya skuad kita nampak bergelut tapi Alhamdulillah mereka dapat segera bangkit mencari mata.
“Namun saya tekankan kepada pemain untuk memperkemas corak serangan selepas ini selain mengurangkan kesilapan,” katanya ketika ditemui.
Malaysia seterusnya akan menentang Filipina pada aksi kedua Kumpulan B malam ini.
Terdahulu, Filipina tewas kepada Jepun dengan keputusan 12-15, 6-15 dalam satu lagi aksi pembukaan kumpulan itu.
-Bernama