
BINTULU: Seorang lelaki warga Indonesia maut manakala seorang lagi rakan senegaranya cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di berhampiran Jambatan Nyalau, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, petang tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.59 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah Toyota Hilux terbabit dalam kemalangan melibatkan dua mangsa.
“Seorang mangsa ditemui terperangkap di bahagian pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala seorang lagi tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja menyelamat serta memberikan rawatan awal kepada mangsa yang tercampak sebelum dihantar ke Hospital Bintulu oleh pasukan ambulans.
Mangsa yang terperangkap disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayatnya diserahkan kepada pihak Polis Batu Niah untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.04 petang selepas pasukan bomba memastikan kawasan benar-benar selamat.
Oleh Carolyne Utih