
MANILA, Filipina: Puluhan pekerja dipercayai tertimbus di bawah gunungan sampah selepas berlaku runtuhan di sebuah tapak pelupusan di Filipina tengah pada Jumaat, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa, menurut pihak berkuasa.
Pekerja penyelamat kini giat melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di lokasi bencana.
Kira-kira 50 pekerja kebersihan dilaporkan tertimbus apabila timbunan sampah setinggi beberapa tingkat runtuh di Tapak Pelupusan Binaliw, sebuah kemudahan persendirian di Bandar Cebu, semalam.
Datuk Bandar Cebu, Nestor Archival, berkata pada satu taklimat media bahawa “terdapat tanda-tanda kehidupan” di lokasi kejadian.

Beliau turut menambah bahawa ratusan penyelamat yang kini berada di lokasi akan dibantu oleh ‘500 lagi’ anggota bagi usaha mencari dan menyelamat yang dijangka berterusan sehingga Ahad.
Menurut Archival, penggunaan peralatan oleh pasukan penyelamat adalah terhad kerana sebarang percikan berpotensi mencetuskan kebakaran akibat gas metana yang dilepaskan daripada tapak pelupusan.
Sehingga kini, seramai 34 orang masih dilaporkan hilang, berkurang daripada 38 orang yang sebelum ini diumumkan oleh beliau di Facebook.
Sekurang-kurangnya 12 pekerja berjaya diselamatkan dalam keadaan hidup dan telah dimasukkan ke hospital.

Jason Morata, pegawai maklumat awam bandar, menjelaskan bahawa gunungan sampah tersebut dianggarkan setinggi empat tingkat.
Gambar udara yang dikeluarkan polis memperlihatkan beberapa struktur yang remuk akibat beban sampah yang berat. Beliau menjelaskan bahawa bangunan-bangunan tersebut menempatkan pejabat, bahagian sumber manusia (HR), pentadbiran serta kakitangan penyelenggaraan bagi firma persendirian yang mengurus tapak pelupusan itu.
“Kami mengambil kira beberapa faktor. Cebu telah dilanda dua taufan pada penghujung 2025 dan juga gempa bumi,” kata Morata.
Beliau menambah, maklumat hanya diperoleh sedikit demi sedikit kerana tiada isyarat telefon di tapak pelupusan.
Menurut laman web pengendali Prime Integrated Waste Solutions, tapak pelupusan itu “memproses 1,000 tan sisa pepejal bandar setiap hari”.
Setakat Jumaat, panggilan kepada syarikat berkenaan masih tidak mendapat jawapan.
“Kami masih tidak mengetahui punca sebenar runtuhan ini, kerana hujan langsung tidak turun,” kata Marge Parcotello, kakitangan awam polis di Consolacion, sebuah bandar yang bersempadan dengan tapak pelupusan. Beliau menambah, “Ramai mangsa berasal dari Consolacion.”
Dalam tragedi serupa pada Julai 2000, lebih 200 maut apabila gunungan sampah menimbus kawasan setinggan di Manila yang dihuni ribuan pengutip sampah.
Kejadian itu, yang paling buruk dalam sejarah Filipina, mencetuskan kemarahan awam terhadap tapak pelupusan terbuka dan membawa kepada pelaksanaan undang-undang baharu bagi memperketat pengurusan sisa beberapa bulan kemudian. – AFP