SERIAN: Seorang lelaki maut manakala dua lagi mangsa mengalami cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lori di Jalan Sungai Menyan, Serian, petang ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 2.50 petang.
“Pasukan tiba di lokasi pada 3.05 petang dan mendapati kemalangan membabitkan dua lori, iaitu lori kargo dan lori 5 tan, dengan tiga mangsa terlibat.
“Dua mangsa mengalami cedera ringan, manakala seorang mangsa tersepit di bawah lori 5 tan yang terbalik dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” kata Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Bilong Lusat dalam satu kenyataan hari ini.
Dua mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Serian menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Menyelamat (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Anggota bomba turut menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori berkenaan.





