
MUKAH: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri sebuah pengubah elektrik milik syarikat SESCO Berhad di Jalan Kuala Balingian, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian disedari oleh seorang juruteknik syarikat berkenaan yang membuat laporan selepas mendapati sebuah pengubah elektrik bersaiz 50 kVA telah dijatuhkan dari tiang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pengadu melihat tiga individu melarikan diri ke kawasan semak berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, anggaran kerugian akibat cubaan kecurian itu mencecah RM20,000.
Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun sekitar 2.30 petang hari sama di tepi Jalan Kuala Balingian.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan dua rekod kes berkaitan dadah. Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam cubaan mencuri tersebut,” jelasnya.
Tambah beliau, modus operandi suspek adalah menarik pengubah elektrik daripada tiang elektrik menggunakan kenderaan sehingga ia terjatuh sebelum meleraikan dan mencuri komponen tembaga di dalamnya.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga 14 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
Polis kini giat mengesan dua lagi rakan sejenayah suspek serta kenderaan yang digunakan dalam kegiatan tersebut.
Oleh Tarani Lanting